BAGAIKAN memecah tradisi kelab bola sepak Inggeris, Hannah Dingley merupakan wanita pertama yang dilantik sebagai jurulatih dalam sejarah sukan yang dimonopoli oleh lelaki

Hannah, 39, yang menjadi jurulatih sementara Forest Green Rovers yang beraksi dalam EFL League Two menganggap langkah yang dilakukan ini merupakan satu galakan kepada jurulatih bola sepak wanita yang lain dan tidak mahu menjadi satu-satunya dilantik.

“Saya sangat teruja untuk langkah seterusnya dalam karier saya. Pra-musim baharu sahaja bermula, dan musim penuh  tidak lama lagi. Ini adalah masa yang menggembirakan dalam bola sepak.

“Saya bersyukur kerana berpeluang melangkah dan memimpin kelab yang progresif dan berpandangan ke hadapan,” katanya.

Walaupun dilantik jurulatih sementara, Hannah telah membuktikan kemampuannya melalui perlawanan persahabatan pertama Forest Green Rovers menentang Melksham Town apabila berjaya menyamakan kedudukan setelah ketinggalan 1-0 di awal permainan.

Hannah bersama pasukan Forest Green Rovers

Apa yang menarik, penyokong kelab itu juga memberikan respon yang positif di atas lantikan tersebut apabila ada di antara mereka yang datang ke perlawanan persahabatan sambil memegang sepanduk bertulis ‘Go Hannah Go,’ sebagai tanda sokongan.

Pengerusi kelab Forest Green, Dale Vince berkata, dia percaya Hannah mampu dan orang yang paling berkelayakan untuk mengendalikan kelabnya.

Dale Vince lantik Hannah Dingley sebagai Ketua Jurulatih Caretaker Forest Green Rovers

“Dia adalah orang yang paling berkelayakan di kelab kami untuk menjadi ketua jurulatih sementara.

“Dia mendapat prestasi yang sama seperti dia mendapat pekerjaan di akademi empat tahun yang lalu, jadi saya tidak mempunyai masa untuk orang yang berkata buruk mengenainya,” kata Vince dalam satu kenyataan.