EKSKLUSIF
SUKA atau tidak polemik ekonomi membabitkan kejatuhan nilai ringgit sedikit sebanyak telah memberikan impak kepada industri bola sepak negara khususnya kelab Liga Malaysia.
Lebih tepat penulis melihat kejatuhan nilai ringgit dilihat telah menambahkan beban dan memberikan tekanan kepada kelab-kelab yang membiayai servis perkhidmatan pemain ataupun pegawai dari luar negara.
Dalam arus bola sepak modenisasi kini, kebanyakan kelab telah berunding lebih awal bagi mendapatkan khidmat warga asing dalam meningkatkan kualiti glokal serta global pasukan tersebut.
Sebagai contoh, kelab A telah menandatangani warga asing dengan kontrak berpendapatan dollar Amerika Syarikat (USD) pada Januari lalu.
Bagaimanapun, kesan terhadap kewangan kelab tampak kian terasa selepas kejatuhan ringgit yang memaksa pihak pengurusan untuk membiayai perkhidmatan tenaga import melebihi dana yang telah ditetapkan.
Salah seorang pemilik kelab yang enggan mendedahkan identitinya tanpa berselindung mengakui bahawa kesusutan nilai ringgit telah memberikan kekangan kepada mereka dalam menguruskan perjalanan kelab dengan lebih baik.
Dedah beliau yang tidak menolak kemungkinan sebahagian besar pemilik-pemilik kelab sedang mempertimbangkan sama ada untuk mengekalkan terus khidmat import atau sebaliknya demi memastikan keseimbangan kewangan pasukan jika nilai ringgit terus susut.
“Ini antara mengapa kadang-kadang perjanjian (kontrak) itu memberikan kesan kepada kelab di mana USD10,000 pada Januari lalu tidak sama nilainya dengan keadaan semasa.
“Jadi sebagai pemilik kelab kami terpaksa menghormati perjanjian tenaga import tetapi kejatuhan nilai ringgit menyebabkan kedudukan kewangan kelab sedikit terjejas dan inilah kos tersembunyi yang mungkin ramai orang tidak sedar,” katanya kepada FLASH SUKAN.
Berdasarkan tinjauan penulis, hampir majoriti iaitu 90 peratus tenaga import tidak bersetuju untuk mengikut nilai ringgit semasa dan dibayar mengikut nilai USD terkini.
Justeru, ia agak membimbangkan penulis kerana kita mungkin melihat tenaga import dijangka akan berkurangan pada musim depan di mana secara peribadi, ia agak merugikan buat bola sepak domestik dalam usaha kita untuk mengangkat kualiti pemain tempatan.
Di sini penulis tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak di sebalik kejatuhan nilai ringgit.
Sebaliknya nukilan penulis ini lebih kepada kesedaran di mana kelab-kelab akan terus dihimpit masalah kewangan selain memberikan kesan kepada penambahan pendapatan kelab disebabkan masalah ekonomi ini.
Jika kita hanya duduk diam sahaja tidak mustahil pemain-pemain import berkualiti tidak dapat ditarik ke Liga Malaysia pada tahun hadapan.
Jadi ia merugikan kita semua baik daripada sudut industri ekonomi mahupun bola sepak negara.
Tepuklah dada, tanya selera.