PERSEDIAAN mental amat penting buat K.Letshanaa dalam usahanya memburu kejuaraan sulung Kejohanan Kebangsaan di Stadium Juara, Bukit Kiara.

Letshanaa, pilihan kedua kejohanan bakal membuat perhitungan dengan Wong Ling Ching yang juga pilihan ¾, selepas mengatasi Siti Nurshuhaini Azman dalam pertarungan rubber set.

“Apa yang berlaku hari ini, jelas minda saya belum bersedia menentang Siti dan ia ketara pada set pertama apabila saya kalah.

 

K Letshanaa berjaya membalas dendam kekalahan di final Sukma 2022 ke atas Siti Nurshuhaini Azman, di Kejohanan Kebangsaan. -Pix BAM

“Apabila minda saya tidak bersedia, pukulan saya tidak bagus, tidak dapat melaksanakan pukulan yang saya mahukan dengan sempurna, pemasaan juga tidak bagus,” kata Letshanaa, selepas mengatasi Siti Nurshaini di separuh akhir 9-21, 21-10, 21-15.

Menurutnya, prestasinya lebih baik di set kedua tetapi tidak cukup sempurna: “Secara keseluruhan, prestasi saya hari ini tidak bagus, saya tidak dapat melaksanakan permainan yang saya mahukan dengan baik tapi yang baiknya masih mampu capai kemenangan.”

Wong Ling Ching mempunyai peluang seimbang untuk memburu kejuaraan kebangsaan pertama.

Sementara itu, Ling Ching melangkah ke final selepas mengatasi Lim Shin 21-19, 21-17.

“Saya sudah lama tak berdepan Ling Ching, kali terakhir ketika dia berusia 16 atau 17 tahun, dapat jumpa lagi dia kali ini, saya pasti perlawanan yang lebih mencabar,” kata Letshanaa lagi.

Sesiapapun sama ada Letshanaa atau Ling Ching yang bakal memenangi perlawanan akhir esok, juara baharu pasti dilahirkan selepas juara bertahan edisi 2019, Sonia Cheah tidak beraksi kali ini.