PERSEORANGAN lelaki negara, Leong Jun Hao berpeluang menebus kekecewaan empat tahun lalu, apabila sekali lagi melangkah ke final Kejohanan Kebangsaan 2023.

Begitupun, dia yakin cabaran tidak akan mudah kerana bertemu rakan sepelatih Shaqeem Eiman Shahyar yang masing-masing sudah mengenal corak permainan lawan.

Jun Hao, naib juara 2019 melangkah ke pentas final selepas menewaskan juara kebangsaan sebanyak dua kali, Lim Chi Wing menerusi aksi straight set 21-15, 21-17 di separuh akhir.

Leong Jun Hao mahu Shaqeem menampilkan permainan terbaik di final, untuk terus menekannya yang memburu kejuaraan pertama di Kejohanan Kebangsaan. -Pix BAM

“Perlawanan akhir, saya perlu beri fokus sama seperti aksi-aksi terdahulu. Bertemu Shaqeem, saya yakin dia pasti akan buat yang terbaik dalam perlawanan akhir nanti.

“Sudah tentu saya perlu bersedia untuk berdepan aksi sukar kerana kami sentiasa berlatih bersama dan tahu gaya permainan masing-masing. Justeru, ia tidak akan jadi satu perlawanan mudah,” katanya.

Leong Jun Hao mahu menampilkan aksi terbaik di final Kejohanan Kebangsaan. -Pix BAM

Untuk rekod, Jun Hao berpeluang meraih gelaran sulung kebangsaan pada edisi 2019, namun terpaksa menarik diri ketika sedang berdepan Soong Joo Ven di perlawanan akhir akibat kecederaan.

Mengulas pertemuan dengan Chi Wing, dia yang juga juara remaja Asia 2017 berkata, kelebihan dari segi kecergasan menjadi faktor kemenangan ke atas pemain berusia 28 tahun itu.

Shaqeem Eiman Shahyar (kiri) melangkah ke final selepas mengatasi Chua Kim Sheng 21-14, 22-20. Pix BAM

“Saya fikir saya bermain dengan lebih sabar selain dia (Chi Wing) sudah lama tidak berlatih, jadi ada kekurangan dari segi fizikal. Selain itu, dia juga masih penat disebabkan perlawanan sebelum ini.

“Kalau saya dapat menang kejohanan ini, pasti ia sesuatu yang bagus dan kepuasan untuk diri sendiri. Saya yakin semua orang tidak mahu kalah dalam mana-mana perlawanan,” ujar Jun Hao.