SESI libat urus bersama-sama atlet wanita akan diadakan dalam usaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperkasakan ekosistem sukan di Malaysia.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, beliau sendiri mahu mendengar luahan atlet wanita mengenai cabaran dan halangan dihadapi yang boleh menghalang golongan itu lebih ramai aktif bersukan.

Hannah yakin jika ekosistem dipertingkatkan, beliau percaya akan lebih ramai jurulatih dari kalangan wanita akan dilahirkan sekali gus mampu memajukan lagi industri sukan di negara ini.

“Kalau lihat ekosistem sukan di Malaysia, kurang beri penekanan untuk bantu wanita lebih cemerlang selepas sukan (bersara).

“Jadi peluang pekerjaan sebagai jurulatih walaupun ada, kalau sokongan infrastruktur seperti penjagaan anak tidak  wujud kita tak dapat lahirkan jurulatih wanita.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh teruskan usaha memperkasa wanita dalam sukan. -Pic KBS

“Jadi saya akan adakan town hall kerana dalam lawatan kita ke Jepun nak perkasakan wanita dalam sukan. Dalam town hall kita nak dengar sendiri dari golongan wanita terlibat cabaran dan halangan untuk mereka berkecimpung dalam karier sukan Malaysia,” katanya, pada Karnival Allianz Movefoward di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

Dalam pada itu Hannah berkata, KBS kini memperincikan tawaran menarik kepada pihak swasta terutama pengecualian cukai atau insentif baharu dalam usaha membantu bekas atlet negara mendapatkan pekerjaan.

Jelas beliau, pihaknya dalam perbincangan akhir bersama Kementerian Kewangan (MoF) untuk memutuskan insentif cukai yang menarik kepada pihak swasta sekali gus menawarkan peluang pekerjaan kepada bekas atlet negara.