SRI Pahang FC akan tampil lebih agresif berdepan cabaran getir apabila bertemu Selangor FC pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan petang Ahad.
Pada masa sama, prestasi Tok Gajah yang mula menunjukkan peningkatan dengan dua kemenangan terakhir liga menjadi isyarat tiga mata bakal menjadi milik beraksi di halaman sendiri.
Pemain tengah skuad itu, Stefano Brundo percaya kemenangan akan berpihak kepada Sri Pahang berdasarkan komitmen dipamerkan rakan sepasukan.
“Sudah pasti kami mahu menang kerana bermain di hadapan penyokong sendiri. Kita akui Selangor dibarisi skuad terbaik dan pemain bagus tapi itu bukan alasan kami tidak menyajikan persembahan terbaik.
“Kami perlu meningkatkan intensiti permainan, lebih agresif dan amal gaya menyerang dalam memastikan kemenangan berpihak kepada Sri Pahang,” katanya kepada ketika ditemui FLASH SUKAN petang tadi.
Pemain kelahiran Argentina berusia 30 tahun itu juga mengalu-alukan kemasukan dua pemain baharu dalam pasukannya iaitu Rafael Silva dan Kuvondik Ruziev.
“Kedatangan mereka sudah pasti ditagih untuk memperkuatkan lagi pasukan untuk memungut mata demi mata dalam baki saingan Liga Super musim ini,” katanya.