KETUA Jurulatih dan Pengurus Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari menggesa agar pengadil lebih bijak mengawal perlawanan untuk tidak menggangu tempo permainan apabila sering menghentikan aksi bagi memberi laluan kepada rawatan pemain yang tercedera.
Ini selepas dia melihat para pemainnya sukar untuk kembali ke tempo asal apabila pengadil sering menghentikan perlawanan akibat pemain mengalami kecederaan ketika Harimau Selatan menewaskan Negeri Sembilan FC 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu.
“Bukan mudah untuk bermain dengan pasukan seperti ini dan saya kurang gembira dengan pengadil kerana membenarkan pasukan lawan untuk membunuh perlawanan dengan sering menghentikan permainan.
“Saya tidak menyalahkan pasukan lawan kerana itu adalah sebahagian taktikal bola sepak tetapi sukar untuk kami kembali kepada tempo sebenar apabila perlawanan sering dihentikan untuk membenarkan doktor pasukan masuk ke padang lebih dari 10 kali untuk memberikan rawatan kepada pemain yang cedera.
“Sebagai jurulatih saya perlu mempertahankan pemain saya untuk dapatkan kembali ritma mereka dan saya letak kesalahan ini kepada pengadil dan saya sudah melihat perkara ini terjadi sejak saya datang kesini enam bulan yang lalu,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Solari juga kurang gembira apabila hanya menjaringkan dua gol selepas JDT mengalami sedikit kesukaran terutama pada babak kedua ekoran taktikal Negeri Sembilan yang bertahan secara blok rendah.
Namun dia tetap memuji barisan pemainnya yang menunjukkan mentaliti yang kuat dengan mengekalkan ‘clean sheet’ dan mencipta rekod baharu kelab dengan 62 gol sepanjang musim setakat ini.
“Sukar untuk bertemu pasukan yang tidak mahu keluar dari kawasan mereka. Kami bermain baik pada babak pertama dan agak sukar pada babak kedua namun kami masih mempunyai peluang menjaringkan satu lagi gol cuma kurang bernasib baik.
“Kami kurang baik pada babak kedua, namun kami berjaya kekalkan ‘clean sheet’, sudah jaringkan 62 gol dan yang paling penting adalah tiga mata. Saya sanjung pemain saya yang tunjukkan mentaliti yang kuat,” tambahnya.
Dua gol menerusi set piece oleh Feroz Baharudin dan Leandro Velasquez pada babak pertama sudah cukup memberikan kemenangan ke-16 JDT musim ini dan semakin melebarkan penghargaan di persada liga.