BUKAN perkara mustahil untuk Leong Jun Hao mencapai tahap sebaris Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong, namun dia perlu memiliki kekentalan dan mempamerkan aksi yang konsisten di pentas antarabangsa.

Perkara itu diakui Jun Hao, yang mahu mendapatkan peluang menyertai kejohanan-kejohanan lebih besar, terutamanya selepas muncul juara kebangsaan buat kali pertama, dengan menewaskan Muhammad Shaqeem Eiman Shahyar, semalam.

Pemain berusia 23 tahun itu berkata, dia meletakkan sasaran untuk menembusi kelompok 32 terbaik dunia bagi melayakkannya beraksi dalam kejohanan antarabangsa yang lebih besar.

Lee Zii Jia kini di ranking ke-16 dunia.

“Sasaran awal saya tahun ini untuk berada dalam kelompok 50 terbaik dunia dan saya hampir mencapainya. Saya berharap menjelang akhir tahun ini, saya boleh berada dalam kelompok 32 terbaik dunia supaya saya dapat sertai kejohanan yang lebih besar.

“Buat masa sekarang, masih ada jurang antara saya dengan Zii Jia dan Tze Yong, ini disebabkan mereka sudah banyak beraksi dalam kejohanan yang lebih besar berbanding saya.

Leong Jun Hao melihat Ng Tze Yong mendapat kelebihan beraksi di kejohanan besar setelah memasuki kelompok 32 terbaik dunia. Tze Yong kini menghuni tangga ke-21 dunia.

“Apabila anda banyak beraksi dalam kejohanan yang besar, ia akan membantu anda untuk meningkatkan prestasi dan konsistensi. Sebab itu, saya perlu berusaha untuk berada dalam kelompok 32 terbaik dunia bagi menyertai kejohanan yang besar,” katanya yang ketika ini berada di ranking ke-54 dunia.

Zii Jia kekal sebagai pemain perseorangan lelaki nombor satu negara apabila berada di kedudukan ranking ke-16 dunia diikuti Tze Yong ke-21.

Jun Hao selepas ini akan menyertai Terbuka Korea yang dijadual berlangsung dari 18 hingga 23 Julai ini.

Bagaimanapun, dia berdepan tugas mencabar apabila diundi bertemu bekas juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew pada aksi pusingan pertama.