JENTERA Ferrari mendominasi sesi kelayakan Grand Prix Monaco apabila pemandu tuan rumah, Charles Leclerc mencatatkan masa terpantas sekaligus bakal memulakan perlumbaan pada petak utama untuk Grand Prix Monaco pada Ahad.

Leclerc mencatat masa 1 minit 11.376 saat di Litar Monte Carlo yang popular mendahului Ferrari 1-2 dengan Carlos Sainz di tempat kedua dan Sergio Perez akan bermula di tempat ketiga manakala Max Verstappen keempat.

Kedudukan petak hadapan sangat penting di litar jalan raya yang sempit ini kerana sangat sukar untuk memotong terutama dengan kereta baharu yang lebih besar tahun ini.

Malang buat Pierre Gasly apabila tersingkir pada kelayakan pertama dan hanya akan memulakan perlumbaan di petak ke-17 selepas bendera merah mengganggu masa pusingannya.

Turut tersingkir adalah Alexander Albon, Lance Stroll, Nicolas Latifi dan Guanyu Zhou yang akan memulakan perlumbaan di tangga ke-16, 18, 19 dan 20.

Lima lagi pelumba, Yuki Tsunoda, Valtteri Bottas, Kevin Magnussen, Daniel Riccardo serta Mick Schumacher tersingkir di sesi kelayakan kedua dan akan memulakan perlumbaan di petak ke-11 hingga ke-15

10 pelumba terpantas bersaing dalam sesi kelayakan ketiga sebelum akhirnya Leclerc muncul pemandu terpantas untuk bermula pada petak hadapan buat kali kelima musim ini.

“Saya sangat-sangat gembira untuk berada di petak hadapan di laman sendiri. Saya tahu kelajuan ada pada kereta dan saya hanya perlu menjalankan tugas dengab baik,” kata Leclerc sejurus selepas tamat sesi kelayakan.

Mampukah hero tuan rumah ini memanfaatkan petak pertamanya untuk bergelar juara Grand Prix Monaco. Perlumbaan ini akan berlangsung jam 9.00 malam Ahad waktu Malaysia.

Keputusan Sesi Kelayakan Grand Prix Monaco:

1. Charles Leclerc – Ferrari

2. Carlos Sainz – Ferrari

3. Sergio Perez – Red Bull

4. Max Verstappen – Red Bull

5. Lando Norris – McLaren

6. George Russell – Mercedes

7. Fernando Alonso – Alpine

8. Lewis Hamilton – Mercedes

9. Sebastian Vettel – Aston Martin

10. Esteban Ocon – Alpine

11. Yuki Tsunoda – Alpha Tauri

12. Valtteri Bottas – Alfa Romeo

13. Kevin Magnussen – Haas

14. Daniel Riccardo – McLaren

15. Mick Schumacher – Haas

16. Alexander Albon – Williams

17. Pierre Gasly – Alpha Tauri

18. Lance Stroll – Aston Martin

19. Nicolas Latifi – Williams

20. Guanyu Zhou – Alfa Romeo