PENGENDALI  Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner menggunakan kesempatan jendela perpindahan kedua untuk menambah baik pasukan dengan membawa masuk pemain kebangsaan Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov.

Nurillo diumumkan sebagai rekrut terbaharu TFC menerusi hebahan di laman sosial rasmi kelab dan FLASH SUKAN berjaya mendapatkan pendapat Tomislav tentang apa yang diharapkan daripada pemain yang pernah dinobatkan sebagai pemain tengah terbaik Liga Uzbekistan itu.

“Saya harap dia dapat sesuaikan diri lebih pantas dengan keadaan, pasukan dan rakan sepasukannya disini. Saya harapkan lebih banyak permainan kehadapan dan rembatan dari jarak jauh selain transisi yang lebih pantas kepada pemain sayap dan serangan.

“Sebagai pemain yang bagus, dia seharusnya dapat menyesuaikan diri dengan cepat dengan keadaan baharu dan ini yang saya harapkan dari dia kerana kehadirannya dalam pasukan akan menambah lebih banyak pilihan bagi menghadapi perlawanan akan datang,” kata Tomi ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Nurillo telah menandatangani kontrak selama 18 bulan sehingga Disember 2024 sebagai pemain import bebas dan Tomi mahu kehadirannya dapat memberikan impak positif buat Terengganu FC bagi mengharungi baki saingan Liga Super, Piala Malaysia dan juga Piala AFC.

Sebelum ini, pemain tengah berusia 26 tahun ini beraksi bersama pasukan FC Neftchi Fergana di Uzbekistan Super League dan pernah dinobatkan sebagai pemain tengah terbaik Liga Uzbekistan.

Nurillo juga mempunyai pengalaman yang luas bersama pasukan remaja kebangsaan dan skuad senior Uzbekistan sekaligus pengalamannya ini akan dituntut Tomislav untuk menjadikan Terengganu pasukan yang boleh terus bersaing dalam kelompok atasan liga dan saingan Piala AFC yang akan bermula pada Ogos.