MAHKOTA kejuaraan Liga Juara-Juara musim 2021/22 milik Real Madrid selepas menewaskan Liverpool 1-0 di Stadium Stade de France, sebentar tadi.

Kemenangan itu merupakan trofi ke-14 buat kelab dari Sepanyol ini.

Perlawanan yang bermula lewat kira-kira 36 minit akibat isu keselamatan di luar stadium, berlangsung harmoni sebaik sahaja tiupan wisel pertama.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan terutamanya Liverpool yang banyak melakukan percubaan tepat ke arah gawang Real pada suku pertama di babak pertama.

Peluang terbaik kedua pasukan boleh dilihat percubaan menerusi Sadio Mane yang berjaya ditepis Thibaut Courtois sementara jaringan kontroversi Karim Benzema dibatalkan pengadil selepas semakan VAR mendapati kapten Los Blancos itu berada pada posisi offside.

Kebuntuan jaringan akhirnya dipecahkan oleh Jose Vinicius Junior yang menolak masuk gol Real m-59 manakala percubaan terbaik Mohamed Salah menyamakan kedudukan m-63 ditumbuk Courtois.

Untuk rekod, Madrid dan Liverpool saling mengalahkan dalam dua perlawanan akhir sebelum ini. The Reds menang pada pusingan pertama yang berlangsung pada 1980/1981.

Final kedua berlangsung musim 2017/2018. Ketika itu, Madrid menang 3-1 ke atas Liverpool di NSC Olimpiyskiy Stadium Kiev, Ukraine, pada Mei 2018.