PENGENDALI Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain ‘pening’ kepala untuk menentukan barisan terbaik pasukannya kerana mempunyai banyak pilihan terutama di bahagian tengah untuk diturunkan menentang Kelantan United FC.
Kedah kembali ke Alor Setar selepas dua perlawanan di tempat lawan dan kehadiran dua pemain import baharu sudah pasti menjadi tumpuan buat para penyokong Hijau Kuning yang mahukan tiga mata dari Sang Kenari.
“Persiapan berjalan baik dengan satu penggantungan dan satu kecederaan. Tidak banyak perubahan akan berlaku dalam kesebelasan utama cuma bahagian pertahanan akan dirombak kerana Akmal Zahir digantung.
“Pemilihan pemain tengah kini sedikit memeningkan kerana saya banyak pilihan dan pemain perlu faham bahawa kita akan lihat pada kesesuaian dengan lawan sebelum dipilih. Semua pemain hendak bermain tetapi bergantung pada taktikal yang diperlukan,” katanya menjelang aksi pada Jumaat.
Sementara itu Nafuzi juga berkata kedua-dua pemain import baharunya masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri namun dia faham kerana ini adalah perkara biasa dalam bola sepak namun dia gembira kerana Ifedayo Olusegun berjaya meledak gol pertama untuk meningkatkan keyakinan dirinya.
“Normal untuk pemain baharu nak dapat keserasian dan kesefahaman dan ia akan bertambah baik selepas dua tiga perlawanan. Apa yang penting adalah jaringan dan Ifedayo telah tunjuk permainan yang baik pada aksi pertama walaupun belum mencapai tahap sebenar tetapi ianya akan meningkat lagi selepas ini,” tambahnya.
Nafuzi juga tidak mahu anak-anak buahnya mengambil mudah perlawanan menentang Skuad Kijang Hijau dan menuntut mereka untuk lebih berdisiplin bagi meneruskan momentum kemenangan.
“Saya harap pemain tidak mengambil mudah dan berasa selesa meskipun kami beraksi di laman sendiri kerana aksi di tempat sendiri bukanlah satu jaminan untuk meraih kemenangan. Sebaliknya kami perlu lebih fokus dan tampil lebih berdisiplin,” jelasnya.
Pada aksi pusingan pertama liga Mac lalu, Kedah berjaya membawa pulang tiga mata dari Kota Bharu selepas menang tipis 3-2.