JAGUH pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi mencatat masa kelima terpantas dalam senarai 24 pelari ke separuh akhir 100 meter (m) lelaki, di Kejohanan Olahraga Asia 2023, yang berlangsung di Stadium Nasional Suphachalasai, Bangkok, Thailand.
Pelari berasal dari Perak itu mencatat masa 10.24 saat (s) ketika memenangi saringan keempat.
Catatan terpantas ke separuh akhir milik Hiroki Yanagita d ari Jepun dengan catatan 10.10s, diikuti Abdullah Abkar Mohamad dari Arab Saudi (10.18s), Ryuchiro Sakai dari Jepun (10.18s) dan Femi Aeun Ogunode dari Qatar (10.19s).
Terdahulu, Azeem mengatasi pelari Hong Kong, Lee Hong Kit (10.46s) kedua dan pelari Oman, Anwar Ali Al Balushi (10.61s) ketiga pada saringan keempat yang membolehkannya melangkah ke separuh akhir, yang akan berlangsung esok, jam 5.45 petang waktu Malaysia.
Pelari berusia 19 tahun itu yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) akan berlari di lorong keempat, pada separuh akhir pertama esok bersama Ryuichiro, Chen Jiapeng (China), Lin Yu Sian (Taiwan), Barakt Mubarak Mabrook (Oman), Shak Kam Ching (Hong Kong), Park Wonjin (Korea Selatan) dan Natawat Iamudom (Thailand).
Sebagai rekod, Azeem yang kini menuntut di Universiti Auburn di Alabama, adalah pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 10.09s yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Bawah 20 Tahun Dunia di Colombia, Ogos tahun lalu, manakala mempunyai catatan terbaik 10.11s tahun ini.
Sementara itu, seorang lagi atlet pecut negara, Khairul Hafiz Jantan turut ke separuh akhir atas tiket enam pelari yang mempunyai catatan masa terbaik bagi melengkapkan kuota 24 pelari ke separuh akhir.
Terdahulu, bekas pemenang pingat emas Sukan SEA itu sekadar mengakhiri saringan pertama di kedudukan keempat dengan catatan 10.46s.
Khairul Hafiz akan berlari pada separuh akhir kedua bersama Hiroki yang mencatat masa paling pantas.
Separuh akhir esok melibatkan tiga perlumbaan dengan dua pelari teratas setiap perlumbaan dan dua pelumba yang memiliki catatan terbaik akan layak ke final.
Thailand tidak menurunkan Puripol Boonson manakala Jepun pula tidak memnyenaraikan Hakim Sani Brown dalam acara 100m ini.