PASUKAN Futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) tetap memandang serius perlawanan suku akhir kedua Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) menentang Sabah di Stadium Tertutup Pasir Gudang meskipun mempunyai kelebihan aggregat 12 gol.
JDT yang dalam penyertaan pertama mereka dalam MPFL telah melakar kemenangan terbesar 12-0 ketika aksi suku akhir pertama di Kota Kinabalu minggu lalu dan ramai beranggapan perlawanan timbal balik ini sekadar melengkapkan jadual dengan boleh JDT boleh menurunkan pemain simpanan.
Namun pengendali JDT, Juan Antonio Miguel Garcia menepis dakwaan ini dan menganggap misi mereka masih belum selesai dan dia tetap akan menurunkan kesebelasan terbaik bagi menghadapi perlawanan ini kerana semua pemain adalah penting dalam pasukannya.
“JDT akan meneruskan aksi terbaik kami walaupun mempunyai kelebihan yang boleh dikatakan selesa. Kami juga sentiasa akan bermain untuk mencari kemenangan dan saya akan menurunkan barisan terbaik kerana di pasukan ini semua pemain adalah penting,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
JDT dilihat sudah sebelah kaki ke separuh akhir dan Juan Antonio tidak mempunyai pasukan pilihan untuk ditemui kerana padanya semua pasukan mempunyai kekuatan dan mereka menghormati semua lawan yang bertanding dalam MPFL.
“Kami tidak kisah siapa pun lawan kami di separuh akhir kerana semua pasukan adalah sukar dan kami menghormati kesemua pasukan. Kami hanya akan fokus kepada diri kami sendiri,” jelasnya lagi.
Kemenangan 12-0 ini dilihat sebagai amaran awal JDT buat pesaing lain yang turut merebut tempat ke separuh akhir menyatakan mereka sudah bersedia untuk menguasai MPFL dalam tahun pertama penubuhan mereka.