SEGELINTIR kecil penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC yang mula menerbitkan perasaan tidak puas hati dengan memaki hamun pemain dan jurulatih di laman sosial.
Presiden Kelab Penyokong Puaka Jerai (PJFC), Zulkifli Hashim atau dikenali Puaka Jerai kesal segelintir penyokong yang berkelakuan luar batas di media sosial.
“Kalah sekali itu perkara biasa. Banyak lagi permainan boleh perbaiki selepas ini. Saya lihat ada yang sampai maki jurulatih. Sepatutnya tidak wajarlah sebagai peminat kena sokong waktu menang dan kalah bersama-sama,” ujarnya menyifatkan saingan Liga Super masih baru bermula.
Puaka Jerai yang sinonim dengan pemakaian kostum unik semasa berada di stadium akui bukan mudah membentuk sebuah pasukan kuat dalam masa yang singkat.
“Pasukan KDA FC terdiri daripada pemain baru, adunan import dan tempatan, hanya beberapa pemain senior.
“Kita masih ada masa untuk perbaiki segala kelemahan dan sebagai peminat saya percaya jurulatih (Adil Sharin Sahak) ada ramuan tersendiri dalam perlawanan seterusnya,” katanya optimis KDA FC kembali semula dilandasan kemenangan.
Rekod bersih kelab yang akan mewakili Piala AFC musim ini ranap apabila dibelasah Selangor FC 4-1, turut menghadirkan kecaman peminat dan dipintas Sabah FC pada kedudukan kedua liga di belakang Johor Darul Ta’zim.
Penang FC menjadi lawan Sang Kenari pada pertemuan yang bakal berlangsung di Stadium Bandaraya pada 17 April.