“INI adalah antara penyokong terbaik yang pernah saya lihat,” itulah kata-kata pujian yang terbit dari mulut penyerang baharu Selangor FC, Richmond Boakye yang gembira apabila berjaya membuka akaun jaringannya bersama Gergasi Merah.
Boakye yang dimasukkan pada babak kedua hanya memerlukan kurang 15 minit untuk meledak gol pertamanya dan kedua buat Selangor ketika menewaskan Penang FC 3-0 dalam aksi Liga Super di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Sabtu.
Dia juga turut memberikan pujian kepada Tuhan dan mendedikasikan gol ini kepada semua yang terlibat dalam Selangor FC atas layanan yang diberikannya sejak dia hadir ke Malaysia kira-kira dua minggu yang lalu.
“Ini adalah antara penyokong terbaik yang pernah saya lihat dan untuk bermain di hadapan mereka hanya satu perkara yang perlu saya lakukan iaitu memberikan lebih dari 100 peratus dan penyokong sendiri yang akan tentukan sama ada mereka menerima saya atau tidak namun kini saya bangga untuk berada di sini.
“Segala pujian kepada Tuhan atas jaringan ini dan saya dedikasikan gol ini kepada penyokong dan pasukan serta rakan sepasukan dan staf kerana sejak saya datang ke sini, mereka melayan saya dengan baik dan memastikan saya mengerah tenaga saya sepenuhnya.
“Gol ini juga membakar semangat saya dan perlu lebih berdisiplin dan saya bangga untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Merah Kuning dan saya sangat gembira dengan jaringan ini kerana ianya amat penting buat pasukan untuk mendapat kemenangan dan juga tiga mata penuh,” katanya kepada FLASH SUKAN selepas perlawanan.
Boakye dan Selangor FC akan berhadapan cabaran Sabah FC selepas ini dan penyerang kebangsaan Ghana itu menyatakan bahawa mereka hanya fokus kepada cara permainan dan serahkan segalanya kepada Tuhan.