TIBA masanya untuk skuad olahraga negara berguru di luar negara.

Bekas jaguh pecut kebangsaan, Nazmizan Mohamad berkata, tiba masanya untuk kem olahraga membuat pelaburan besar bagi menyerlahkan potensi atlet supaya lebih kompetitif di pentas antarabangsa.

“Bagi saya, atlet perlu diberikan peluang yang lebih banyak menjalani latihan di luar negara. Pemilihan tempat berlatih itu boleh dibuat berdasarkan kesesuaian untuk acara masing-masing.

Nazmizan Muhammad (kiri) pernah menjalani latihan tiga bulan di Amerika Syarikat pada 2004.

“Majoriti atlet yang kita ada sekarang berumur 26 tahun ke bawah, mereka semua kita perlu jaga dan beri pendedahan secukupnya.

“Kalau kita nak tengok hasilnya, kita perlu buat pelaburan,” kata Nazmizan yang pernah berlatih selama tiga bulan di Amerika Syarikat pada 2004.

Muhd Ziyad Zolkefli satu-satunya atlet sumbang pingat di Kejohanan Olahraga Asia, di Bangkok. Pix Fail NSTP/YAZIT RAZALI

Padangan Nazmizan itu disuarakan bagi mengulas mengenai pencapaian skuad negara di Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok, Thailand yang berakhir, semalam.

Malaysia mengakhiri saingan dengan membawa pulang satu pingat gangsa menerusi jaguh lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin.

Mengulas lanjut, Nazmizan berkata, walaupun hanya meraih satu gangsa, ia tetap sesuatu yang positif mengambil kira peningkatan prestasi ditunjukkan atlet secara keseluruhannya.

Rata-rata atlet olahraga negara berusia 24 tahun ke bawah.

“Kita kena sedar, ini adalah kejohanan peringkat Asia, ada atlet dari China, Jepun dan Uzbekistan, tahap persaingan adalah tinggi.

“Apa yang saya nampak, atlet kita menunjukkan prestasi yang baik. Jika kita terus beri sokongan kepada mereka, saya percaya mereka boleh beri keputusan yang lebih baik,” katanya, optimis Malaysia mampu memperbaiki keputusan di Bangkok apabila beraksi di Sukan Asia Hangzhou, September depan.

Kuartet 4x100m wanita berpotensi andai mengikuti program latihan yang mampan.

Sejak Sukan Asia dianjurkan pqda 1951, skuad olahraga negara pernah memenangi lapan pingat emas, lapan perak dan 19 gangsa.

Kali terakhir skuad olahraga menyumbang pingat pada temasya Sukan Asia Doha, Qatar pada 2006 yang menyaksikan Roslinda Samsu meraih pingat perak lompat bergalah wanita, manakala Noraseela Mohd Khalid gangsa 400 meter (m) berpagar.

Manakala atlet lelaki terakhir memenangi pingat adalah Loo Kum Zee dalam acara lompat tinggi yang memenangi gangsa di Sukan Asia Bangkok, 1998.