PENYERANG import PDRM FC, Bruno Suzuki mengakui dia mengalami musim yang sukar kerana perlu bersaing dengan ramai pemain apabila pengelola liga membenarkan kuota sehingga sembilan pemain asing boleh didaftarkan.
Ini menjadikan dirinya lebih kompetitif dan akan memberikan segalanya jika diturunkan bagi membuktikan keputusan jurulatih memberi peluang kepadanya adalah tepat dan dapat membantu pasukan mendapatkan keputusan yang baik.
“Musim ini agak sukar kerana kita mempunyai terlalu ramai pemain import, jadi kita perlu buat penggiliran pemain. Kadang-kala anda mahu main tapi tidak dapat main kerana perlu ikut percaturan oleh ketua jurulatih. Jadi apabila saya diturunkan, saya bertekad untuk berikan yang terbaik untuk pasukan saya,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Bekas pemain Terengganu FC itu juga mengakui tekanan lebih dirasai pasukan lawan yang bertemu PDRM dan atas sebab itu pemain Sang Saka Biru boleh beraksi lebih baik kerana kurang tertekan dari sudut mencari kemenangan.
“Beraksi menentang pasukan yang besar menjadikan kami lebih bermotivasi kerana mereka mempunyai tekanan yang lebih berbanding kami jadi kami boleh bermain lebih tenang kerana tidak mempunyai tekanan,” jelasnya.
Bruno juga mengakui dia dan barisan serangan PDRM perlu lebih tajam di hadapan gawang kerana mereka sedar mereka agak tumpul dan kurang menjaringkan gol dan mahu memperbaiki perkara ini untuk menghadapi baki saingan Liga Malaysia.
“Secara jujur kita perlu perbaiki di bahagian serangan dan saya sendiri sebagai penyerang perlu lebih kerap jaringkan gol. Kami perlu tajamkan bahagian serang untuk jaringkan gol untuk bantu pasukan.”
Setakat 17 perlawanan liga, PDRM hanya mampu menjaringkan 16 gol, antara yang terendah dalam Liga Super dan perkara ini perlu diperbaiki jika Sang Saka Biru mahu berada di kedudukan yang lebih baik dalam liga.