SUKAR, namun Leong Jun Hao tetp menjadikan aksi pertama menentang bekas juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew sebagai ukuran kebangkitan di Terbuka Korea yang bermula Selasa.
Sedar Kean Yew memiliki kelebihan pada perlawanan pertama itu, Jun Hao yang baru dinobatkan sebagai juara kebangsaan nekad, mahu mengejutkan pemain kelahiran Pulau Pinang itu.
Mengakui persiapan dilakukan berjalan lancar, bekas juara remaja Asia itu akan berbincang dari masa ke masa bersama jurulatih mengenai corak permainan yang bakal ditampilkan ketika menentang Kean Yew.
“Semuanya berjalan lancar. Sasaran utama saya sekarang adalah untuk bertemu Kean Yew, harap dapat buat sesuatu lawan dia nanti dan mungkin lakar kejutan.
“Berdasarkan prestasi semasa saya ketika ini, saya cuma mahu berikan segala-galanya ketika menentang Kean Yew. Yang pasti… saya mahu beri tentangan sengit kepadanya,” kata Jun Hao.
Walaupun pernah menentang Kean Yew sebelum ini, namun Jun Hao percaya lawannya itu memiliki banyak kelebihan, lebih-lebih lagi kali terakhir mereka bertemu pada Siri Antarabangsa Singapura 2017.
Dalam pada itu, Jun Hao turut mahu menjadikan aksi pada Terbuka Korea dan Terbuka Australia selepas ini, sebagai medan untuk memperbaiki kedudukan dalam ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
“Saya pun sudah lama tidak bertemu dia, jadi saya fikir tidak ada sebarang kelebihan. Mungkin saya hanya perlu bertukar-tukar corak permainan dalam gelanggang nanti, itu paling penting.
“Dalam mana-mana kejohanan, bagi saya semuanya sama sahaja. Saya hanya mahu tampilkan aksi terbaik dan berusaha untuk memperbaiki keputusan dan ranking dalam setiap kejohanan,” ujarnya.