SAINGAN Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 dijangka menarik lebih banyak pasukan besar, selepas dua pasukan yang beraksi di Giro D’Italia Mei lalu, Green Project-Bardiani CSF-Faizane dan Team Corratec-Selle Italia mengesahkan penyertaan mereka.
Bardiani dan Team Corratec adalah dua daripada tujuh pasukan ProTeam yang sudah mengesahkan penyertaan pada saingan jelajah kali ini, memiliki reputasi cukup gah.
Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL 2023, Emir Abdul Jalal berkata, Bardiani boleh dianggap antara pasukan paling menyerlah musim ini apabila menghuni ranking ke-23 dunia selepas mengumpul 2292.8 mata.
“Walaupun berstatus ProTeam, Bardiani menghuni tangga ke-23 dunia setakat 11 Julai lalu. selain itu, mereka turut mendapat undangan wildcard untuk beraksi dalam Giro (D’Italia) tahun ini.
“Kelibat pelumba mereka kita dapat lihat ketika ada kelompok yang melakukan breakaway dalam Giro. Pelumbanya, Henok Mulubran turut memenangi jersi kuning pada Tour of Qinghai Lake di China,” katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan.
Sementara itu, beliau menjelaskan, Team Corratec yang bakal melakukan penampilan sulung pada LTdL kali ini juga, bukan calang-calang pasukan apabila pelumbanya, Davide Baldaccini muncul pelumba ketiga terbaik Tour of Qinghai Lake.
“Team Corratec-Selle Italia akan muncul buat kali pertama di LTdL tetapi berdasarkan perkembangan semasa, mereka wajar diberi perhatian apabila turut menyerlah dalam Tour of Qinghai Lake dengan memenangi dua peringkat perlumbaan,” ujarnya.
Sementara itu, lima lagi pasukan ProTeam yang akan mengiringi Bardiani dan Team Corratec adalah Caja Rural-Seguros RGA, Equipo Kern Pharma, Euskaltel-Euskadi, Human Powered Health dan Tudor Pro Cycling Team.
Saingan LTdL 2023 akan bermula 23 hingga 30 September depan, merentasi 11 daripada 12 negeri di Semenanjung Malaysia, melibatkan jarak keseluruhan sejauh 1,280.3 kilometer (km).