PERTAHANAN Johor Darul Ta’zim (JDT), Feroz Baharudin mahu memberikan aksi terbaik sekiranya diturunkan bagi memastikan gawang Harimau Selatan tidak bolos apabila berdepan Kuala Lumpur City FC dalam final Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu.
Pemain berusia 23 tahun itu berkata, dia bersedia andai dipilih untuk aksi final kedua dalam kariernya untuk memberikan yang terbaik sekaligus mempertahankan kejuaranan piala berkenaan yang dimenangi musim lalu selepas menewaskan Terengganu FC 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Ketika JDT menjuarai Piala FA musim lalu, saya masih beraksi bersama JDT II dan pasukan itu juga melakar kejutan apabila muncul juara Liga Perdana buat kali pertama.
“Aksi ketika menang ke atas Kelantan FC hujung minggu lalu memberi saya lebih keyakinan bagi membuat persiapan menjelang final Piala FA nanti dan untuk diri saya sekarang ini amat bersyukur selepas pulih daripada kecederaan, tampak lebih konsisten beraksi.
“Malah jaringan gol ketika menentang Negeri Sembilan secara perlahan-lahan mampu meningkat lagi keyakinan dan berharap akan terus konsisten sepanjang latihan bagi persiapan menjelang final nanti,” katanya.
Anak jati Kota Tinggi itu juga menganggap aksi di pentas final berbeza dengan saingan Liga Super dan harus lebih bersedia dari aspek fizikal dan mental bagi mengharungi 90 minit perlawanan dan mungkin sehingga ke masa tambahan.
Walaupun sudah berdepan skuad The City Boys sebanyak dua kali musim ini dan keputusan berpihak kepada JDT dengan kemenangan 3-0 dan 6-1, namun bagi Feroz aura perlawanan berbeza bakal dirasai dalam aksi final.
“Pasukan lawan memiliki barisan pemain seperti Paulo Josue, Romel Morales, Tchetche Kipre dan banyak lagi, tetapi saya enggan memikirkan kehebatan mereka, sebaliknya kami di JDT lebih memberi fokus terhadap persiapan kami sendiri kerana ia lebih mustahak.
“Sudah tentu ia bakal menjelmakan perlawanan yang menarik dan jika terpilih dalam kesebelasan utama nanti, pastinya saya mahu beraksi lebih mantap malah aksi yang konsisten juga penting dan cuba mengelak melakukan kesilapan dalam perlawanan itu,” tambahnya lagi.
Selepas melakukan debut bersama skuad senior JDT pada Oktober 2020, Feroz tidak menoleh kebelakangan sebaliknya terus mendapat kepercayaan jurulatih dan dia membuktikan usia mudanya bukanlah penghalang untuk dia merebut kesebelasan utama Harimau Selatan.