PASUKAN karate negara sedia mengaum di Melaka, memburu pingat emas apabila Kejohanan Karate Asia ke-19 bermula esok hingga Ahad ini.
Jaguh karate wanita negara, C Shahmalarani berkata, sasaran satu emas dinyatakan Persekutuan Karate Malaysia (Makaf), bukannya tekanan.
“Kami atlet elit bukan menyertai kejohanan untuk meraih pengalaman tetapi menyasarkan emas, jadi kami akan keluar dengan memberi saingan bersungguh-sunggu,” kata Shahmalarani.
Namanya antara yang menjadi sandaran untuk menyumbang pingat emas kepada skuad karate negara di kejohanan yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
Ketika ditanya sama ada sandaran yang diletakkan ke atasnya itu menjadi tekanan, Shahmalarani berkata: “Saya memahami persatuan dalam masa sama saya tidak akan menjadikan sasaran itu kepada saya, malah saya dan rakan-rakan bersyukur kerana kami menjadi sandaran.”
Karateka berusia 25 tahun itu memberitahu, persiapan pasukan karate kebangsaan berjalan lancar dan semua atlet mahukan kemenangan apa lagi ketika beraksi di bumi sendiri.
“Saya kekal beraksi dalam kategori sama (bawah 50 kilogram) dan berharap mampu pamerkan aksi cemerlang di kejohanan yang dianggap sebagai pra Sukan Asia.
“Malah kekal bertanding dalam kategori sama juga penting bagi menaikkan ranking saya,” katanya.
Kejohanan Asia yang diadakan di Melaka itu bakal menampilkan 500 lebih atlet dari 32 buah negara.
Kejohanan berkenaan kembali dianjurkan di Malaysia selepas kali terakhir penganjurannya pada 2007 di Seremban yang menyaksikan skuad karate negara meraih empat emas, lima perak dan empat gangsa.
Pada edisi terakhir di Tashkent, Uzbekistan, tahun lalu, S Prem Kumar dan Arif Afifuddin kedua-duanya berjaya membawa pulang gangsa dalam kategori bawah 55kg dan bawah 84kg.