BANDAR Melaka akan sibuk sepanjang hujung minggu ini, apabila Kejohanan Berbasikal Kebangsaan 2023, berlangsung esok hingga Ahad.

Kira-kira 350 pelumba mengesahkan penyertaan untuk menggegarkan bandaraya Melaka.

Menurut Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab, pihaknya sudah bersedia dan mengalu-alukan kehadiran semua pelumba bagi menghangatkan kejohanan kali ini.

“Berdasarkan senarai penyertaan peserta selepas tarikh tutup (Ahad), seramai 120 pelumba akan mengambil bahagian dalam kategori terbuka (lelaki) dan master (lelaki A dan B).

“Ini satu jumlah yang cukup baik selain mengambil kira jumlah pelumba yang akan bersaing dalam kategori elit (lelaki dan wanita), bawah 23 tahun (lelaki) dan junior (lelaki dan wanita),” katanya.

Menurut beliau, antara pasukan negeri yang bertanding termasuklah Terengganu, Kelantan, Johor, Kedah, Perlis, Sarawak, Kuala Lumpur selain wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Pasukan berstatus benua terbaik negara, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) turut bersaing selain satu lagi pasukan tempatan yang mula mencipta nama, Team Aquatwo Cyclomotion (TAC),” jelasnya.

Melaka kembali menjadi ruan rumah Kejohanan Berbasikal Kebangsaan selepas edisi tahun lalu berlangsung di Manong, Perak yang menyaksikan pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Muhsin Al Redha Misbah menjuarai kategori elit lelaki.

Namun, tanpa kehadiran TSC pada kejohanan kali ini, barisan pelumba TSG diramal mampu mendominasi beberapa kategori utama termasuk elit lelaki dan ujian masa individu lelaki.

Pemenang pingat emas Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki yang terpaksa akur dengan kilauan perak pada edisi 2022, kini tampak menjadi calon pilihan menyambar emas.

Sementara itu, pasukan berstatus benua, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) diramal mendominasi kejohanan terbabit.

Pasukan terbabit disebut-sebut bakal menguasai saingan menerusi dua pelumba muda, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki dan Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff selain Hariff Salleh yang berpengalaman luas.