KUALA Lumpur tidak berhasrat menjadi “Pak Sanggup” kepada Kota Victoria di Australia, yang menarik diri daripada menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, Malaysia ketika ini menumpukan perhatian kepada persiapan penganjuran Sukan Sea 2027.
“Kita bincangkan sekarang adalah penganjuran Sukan SEA 2027. Kita sedang melakukan persiapan untuk menyiapkan kertas kerja yang akan dibentangkan ke Kabinet untuk kita pastikan yang kita mempunyai dana yang mencukupi.
“Kita kena tahu secara mendalam mengapa Australia menarik diri, kita tidak boleh kata disebabkan Australia menarik diri, ini adalah peluang untuk kita.
Kalau Australia tidak mampu adakah kita mampu melaksanakannya? Saya rasa ia adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab kalau saya tanpa mengkaji dulu terus buat pengumuman.
“Setakat ini memang kita tiada hasrat (untuk menganjurkan Sukan Komanwel 2026), kata Hannah, selepas meraikan ulang tahun ke-30 Al-Ikhsan di IOI City Mall, Putrajaya.
Pada Selasa, Victoria dilaporkan membuat keputusan menarik diri sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 2026 ekoran peningkatan kos penganjuran yang tinggi.
Ketua Menterinya, Daniel Andrews berkata, penarikan diri tidak dapat dielakkan selepas beberapa masalah tidak dapat diatasi termasuk isu venue dan kewangan.
Katanya, temasya itu sepatutnya diadakan di empat hab sekitar Victoria namun peningkatan kos lebih 4.8 bilion dollar Amerika (RM21.7 billion) daripada anggaran 1.7 billion dollar Amerika (RM7.7 billion) akan berlaku sekiranya penganjuran diteruskan.