KAPTEN pasukan Pahang Rangers FC, Akmarulnizam Idris mahu dia dan rakan-rakan sepasukan mendapatkan seberapa banyak kelebihan apabila beraksi di laman sendiri ketika aksi separuh akhir pertama Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) menentang Selangor MAC pada Sabtu.
Pahang Rangers kini bertemu dengan musuh tradisi mereka selepas mengendalikan cabaran Shah Alam City 9-2 menerusi aggregat di peringkat suku akhir dan Akmarulnizam mahu mengulangi kejayaan menewaskan Selangor MAC sebelum ini.
Selain aksi di atas gelanggang, Pahang Rangers juga mahu para penyokong setia mereka memenuhkan Stadium Sukpa kerana penyokong adalah tulang belakang kepada pasukan sejak dari awal musim.
“Ini perlawanan terbesar kita musim ini, pertemuan dua pasukan yang merupakan musuh ketat. Kita pernah atasi mereka di sini, dan kita mahu mengulanginya. Ia bukan mudah, bergantung kepada apa yang kita berikan pada malam esok.
“Selain itu, kehadiran penyokong juga akan memainkan peranan penting kerana penyokong telah menjadi kekuatan kami sejak daripada awal musim, mereka sentiasa bersama kami setiap kali bermain di Sukpa mahupun tempat lawan.
“Saya juga masih ingat kali terakhir kita bermain di Sukpa lawan Selangor pada 2019, stadium penuh hingga langsung tiada ruang. Saya juga hadir sebagai penonton ketika itu kerana masih cedera ACL, dan saya dapat lihat sorakan mereka itulah membakar semangat pemain,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Akmarulnizam juga sedar dia berdepan tugas sukar untuk memimpin pasukannya namun dia percaya dengan bantuan penyokong, mereka mampu membawa kelebihan ke tempat lawan.
“Malam esok saya akan memimpin rakan sepasukan untuk aksi penting ini, kita mahu dapatkan kelebihan seberapa banyak yang boleh dan untuk itu sokongan padu penyokong amatlah ditagih dan saya berharap dapat melihat stadium ‘full-house’ sekali lagi,” tambahnya.