HASRAT Harimau Malaya mengakhiri tahun 2023 dalam ranking 120 dunia, dijangka dapat dicapai skuad negara memenangi perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang China dan menjuarai Pestabola Merdeka.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Mohd Firdaus Mohamed berkata, beliau optimis dengan perancangan skuad bimbingan Kim Pan-gon, dan yakin Harimau Malaya berada di landasan tepat.

“September ini kita akan menentang China, selepas itu Mesir (belum disahkan), kalau kita menang satu perlawanan, terutamanya China, kita berada di posisi yang baik untuk mengakhiri tahun ini dalam ranking ke-120 dunia.

“Dalam masa sama, jika kita muncul juara Pestabola Merdeka, ia memudahkan lagi Harimau Malaya,” kata Firdaus.

Beliau ditemui pada majlis Pelancaran Perlawanan Piala Agong & Pertandingan Piala Emas Raja-Raja 2023, yang berlangsung di Hotel Ideas KL.

Naib Presiden FAM, Mohd Firdaus Mohamed (tengah) optimis dengan perancangan Harimau Malaya untuk berada di ranking ke-120 dunia hujung thaun ini.

Menurut beliau, skuad kebangsaan perlu mengambil kesempatan situasi pasukan China yang kini tidak berada di tahap terbaik, “China berada dalam ranking bawah 100 dunia tapi hari ini, prestasi China menurun dan kita perlu ambil kesempatan atas prestasi semasa lawan.

“Dalam dua perlawanan, kita sasar satu kemenangan untuk mengumpul mata dan jika menang Pestabola Merdeka lebih mudah menjelang Piala Asia tahun hadapan.”

Selain China, Firdaus memberitahu, FAM juga dalam perbincangan mengatur perlawanan menentang Mesir dan optimis perlawanan itu dapat direalisasikan, namun yang pasti, semua perlawanan akan berlangsung venue berkecuali.

Harimau Malaya kini menghuni tangga ke-136 dunia, manakala China dan Mesir masing-masing di ranking ke-80 dan 34 dunia.

Pada Oktober nanti, Malaysia dijadual menyertai Pestabola Merdeka di Kuala Lumpur membabitkan saingan empat penjuru termasuk India, Palestin dan Lubnan. Manakala, pada November  pula, skuad negara bakal mengharungi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.