PENJAGA gol Kuala Lumpur City FC, Kevin Ray Mendoza tidak menyangka pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Shio Hong Wan akan melakukan rembatan dari jarak jauh sekali gus menewaskannya untuk gol pertama JDT.
Hong Wan menjaringkan gol yang cukup cantik pada babak kedua yang memberikan kelebihan buat JDT sebelum Leandro Velasquez melengkapkan malam gemilang JDT untuk mempertahankan kejuaraan Piala FA selepas menewaskan KL City 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu.
“Sudah tentu ianya perlawanan yang sukar. Johor adalah pasukan yang bagus tetapi secara keseluruhan kami bermain baik sepanjang 65 minit. Kami bermain dengan corak bertahan namun kami tetap mempunyai beberapa peluang dan jika ianya berjaya disempurnakan keputusan perlawanan akan menjadi lain tetapi akhirnya ia tidak mencukupi dan sudah tentu saya sedih.
“Saya tidak menyangka Hong Wan akan merembat dari jauh kerana biasanya dia bukan begitu. Kami terperanjat dengan rembatan itu kerana ianya jarang berlaku namun ianya satu jaringan yang cukup baik,” jelasnya ketika ditemui selepas perlawanan.
Kevin turut mengakui dia berpuas hati dengan persembahannya namun dia berbangga dengan aksi barisan pertahanannya yang menunjukkan prestasi cukup cemerlang sepanjang perlawanan.
“Saya gembira dengan persembahan saya meskipun tewas tetapi saya mahu memuji barisan pertahanan dan berterima kasih kepada mereka kerana beraksi dengan sangat baik.
“Gol kedua yang dilepaskan sedikit kurang bernasib baik tetapi saya tidak memarahi barisan pertahanan namun apabila anda ketinggalan 2-0, sudah pasti ianya merosakkan ‘mood’ anda,” tambahnya.
Kevin kembali menjaga gawang Kuala Lumpur City selepas mengalami kecederaan panjang dan mempamerkan aksi mantap hingga berjaya mengecewakan barisan serangan JDT terutama pada babak pertama.