KEJAYAAN meraih pingat gangsa di Kejohanan Karate Asia 2023 yang berlangsung di MITC Melaka, membawa berita gembira buat Zakiah Adnan apabila terpilih mewakii negara ke temasya Sukan Asia Hangzhou 2022, September depan.

Perkara itu disahkan Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) Datuk Nur Azmi Ahmad, sambil mengumumkan trio Kata berpasukan wanita, turut layak ke temasya itu.

“Zakiah akan bertanding dalam kategori 61kilogram (kg) namun bergantung kepada keputusan akhir nanti. Dalam masa yang sama, kita juga telah bersetuju menghantar pasukan Kata wanita,” katanya.

Presiden MAKAF, Datuk Nur Azmi Ahmad sahkan Zakiah Adnan dan trio Kata berpasukan wanita, ke Sukan Asia Hangzhou, China, September depan.

Pemilihan Zakiah menyertai temasya Hangzhou 23 September hingga 8 Oktober depan itu, menjadikan keseluruhan atlet Kumite akan menggalas cabaran memburu satu pingat emas yang disasarkan MAKAF.

Semalam, Nur Azmi mengumumkan enam atlet karate negara sah akan bersaing di Sukan.

Atlet terbabit adalah Mohammad Arif Afifuddin, H. Sankar Sureeya, S. Prem Kumar dan R. Shamendran bagi lelaki manakala kategori wanita, C. Shahmalarani dan P. Madhuri.

Lovelly-Naccy-Niathalia tersenarai ke Sukan Asia Hangzhou, 2022.

Trio Kata, Lovely Anne Robberth, Naccy Nelly Evvaferra Rojin dan Niathalia Sherawinnie Yampil yang menyumbang pingat gangsa acara Kata berpasukan wanita hari ini, turut layak ke Sukan Asia Hangzhou, namun MAKAF masih mencari seorang lagi karateka Kata, bagi melengkapkan kuota 3+1.

Azmi turut mengumumkan semua atlet yang terpilih beraksi di Hangzhou,China, akan mengharungi tiga kejohanan yang akan berlangsung di Tunisia, Maghribi dan sebuah negara di Eropah.