KEGAGALAN mencapai sasaran satu pingat emas di Kejohanan Karate Asia (AKF) 2023, membolehkan skuad karate negara membuka mata seluas-luasnya, mengkaji kelemahan yang ada untuk memastikan impian membawa pulang sebutir emas di Hangzhou, China, September depan dapat direalisasikan.

Ketua pasukan karate kebangsaan, R Shamendran berkata, meskipun Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) meletakkan sasaran tinggi di kejohanan yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) yang berakhir semalam, namun tumpuan sebenar karateka negara adalah di temasya Sukan Asia Hangzhou 2022, yang akan berlangsung 23 September hingga 8 Oktober depan.

R Shamendran yakin cukup masa untuk skuad karate negara perbaiki kelemahan menjelang temasya Sukan Asia Hangzhou, September depan.

“Jurulatih ada perancangannya sendiri, mungkin beliau tidak mahu kami mencapai kemuncak prestasi di sini dan saya harap semua pihak bersabar.

“Saya rasa jurulatih ada perancangan untuk atlet karate capai kemuncak di Sukan Asia.

“Apa yang berlaku di sini, segala kelemahan kita boleh perbaiki,” kata Shamendran, mewakili jurulatih dan karateka negara yang sugul dengan pencapaian di Melaka itu.

Katanya, jurulatih dari Mesir, Tamer Abdelraouf Mohamed Mourssy hanya lima bulan melatih skuad karate negara dan mustahil untuk mendapatkan keputusan positif dalam masa singkat.

“Kami mengakui gagal menepati hasrat satu emas dimahukan MAKAF, dan kami sendiri kecewa kerana kejohanan berlangsung di tanahair sendiri, namun ini menjadi big alarm for us and for everyone to work more hard, kita tengok mana kelemahan yang perlu diperbaiki.

“Pencapaian tiga gangsa ini bukanlah terburuk malah lebih baik berbanding di Tashkent, Uzbekistan, tahun lalu yang hanya bawa pulang dua gangsa.”

Pada saingan kali ini, S Prem Kumar, Zakiah Adnan dan trio Lovely Anne Robberth, Naccy Nelly Evvaferra Rojin dan Niathalia Sherawinnie Yampil menjadi penyumbang tiga pingat gangsa buat skuad karate negara, yang menamatkan saingan di kedudukan ke-13 daripada 15 negara bertanding.

Sementara itu, H Sureeya Sankar yang beraksi dalam acara Kumite berpasukan lelaki (5 sepasukan) mengakui banyak kesilapan dilakukan pada aksi suku akhir ketika menentang Kuwait.

“Saya tidak fikir Kuwait terlalu kuat untuk kami tapi kita banyak melakukan kesilapan dan gagal mengawal perlawanan hingga tewas 3-0.

“Sepatutnya kami perlu memberi reaksi lebih pantas dan memberi tekanan ke atas lawan,” kata Sureeya.

Skuad Kumite berpasukan lelaki menjadi harapan terakhir negara pada Kejohanan Karate Asia 2023 memburu pingat emas, pada hari terakhir kejohanan itu, namun tewas 3-0 kepada Kuwait yang memungut 7 mata berbanding tiga karateka negara hanya 1 mata.