KETUA jurulatih Selangor TOT United, Patt Sriwijit mengakui bahawa kesilapan yang dilakukan oleh para pemainnya terutama selepas selesa mendahului menjadi punca kekalahan mereka kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi separuh akhir pertama Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam pada Isnin.

Selangor TOT mendahului 3-0 pada 12 minit pertama namun gagal menghalang kebangkitan dramatik JDT terutama di separuh masa kedua yang menyaksikan JDT membawa pulang kemenangan aggregat 7-5.

“Kami melakukan banyak kesilapan terutama dari segi konsentrasi apabila pemain mahu menjaringkan lebih gol dan kehilangan konsentrasi yang mengakibatkan kami kehilangan kelebihan jaringan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Jurulatih dari Thailand itu bagaimanapun masih lagi yakin dengan peluang pasukannya dan percaya mereka mampu bangkit pada separuh akhir kedua di Pasir Gudang pada Ahad.

“Kami boleh kembali semula ke dalam permainan kerana kita sudah nampak di mana kesilapannya, mereka hanya menjaringkan dua gol dari serangan dan kami bolos tiga gol dari tendangan sudut dan dua hasil kekasaran yang kami lakukan.

“Kesemua pemain saya sangat bagus dan beraksi 200 peratus dalam perlawanan ini dan kami akan bangkit pada separuh akhir kedua nanti. Terima kasih kepada penyokong yang hadir dan maaf kerana tidak dapat berikan kemenangan,” tambahnya.

Selangor TOT perlu mempamerkan aksi luar biasa di Pasir Gudang minggu hadapan jika mereka mahu memadam kelebihan tujuh gol di tempat lawan milik JDT sekiranya mahu beraksi di final.