PENYUMBANG pingat emas Sukan Asia Hangzhou 2022, bakal pulang ke tanahair menaiki penerbangan kelas pertama, apabila Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sedang mengusahakan insentif itu dengan kerjasama sebuah syarikat penerbangan China.F78U
Ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan Asia Hangzhou, Datuk Chong Kim Fatt berkata, kerjasama dengan China Eastern Airlines sebagai penerbangan rasmi kontinjen negara ke Hangzhou, sedang diperkemas.
“Kita berjaya menjalin kerjasama dengan China Eastern Airlines yang mempunyai penerbangan terus ke Hangzhou. Mereka menawarkan tawaran ekslusif iaitu jika atlet negara meraih pingat emas, tempat duduk mereka akan dinaik taraf kepada kelas pertama tanpa kos tambahan.
“Ini adalah inisiatif yang dapat menggalakkan atlet kita menampilkan prestasi terbaik di Hangzhou dan yang penting, tawaran itu datang daripada syarikat swasta,” kata Kim Fatt, selepas mempengerusikan mesyuarat pengurus pasukan ke temasya itu di Wisma MOM.
Hadir sama, Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin.
Begitupun, Kim Fatt berkata, penerbangan ke Hangzhou itu bukannya tempahan khas namun China Eastern Airlines akan memberi keutamaan kepada kontinjen negara.
Pada sidang media itu juga, Kim Fatt mengumumkan, kontinjen negara membariskan seramai 401 atlet dan pegawai ke temasya itu.
“Daripada jumlah itu, seramai 293 atlet yang terdiri daripada 117 di bawah kategori A manakala 176 kategori B,” kata Kim Fatt, sambil mengesahkan kontinjen negara akan menyertai 23 acara pada temasya yang akan berlangsung pada 23 September hingga 8 Oktober depan.
Dalam pada itu, beliau berkata, bengkel penetapan sasaran ke Sukan Asia Hangzhou 2022, akan berlangsung pada 22 Ogos depan.
Pada temasya 2018 di Jakarta, kontinjen negara meraih tujuh emas, 13 perak dan 16 gangsa, manakala pencapaian terbaik Malaysia di temasya itu, adalah pada 2010 di Guangzhou, China, apabila membawa pulan sembilan emas, 18 perak dan 14 gangsa.