BEKAS pengendali Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak menegaskan bahawa dia dan kelab mempunyai ‘gentleman agreement’ tentang masa depannya dan perletakkan jawatan ini sudah diketahui lebih awal oleh pihak pengurusan.

Dia juga mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan kerana padanya tiga musim bersama KL City adalah antara detik terindah dalam kariernya sebagai jurulatih apabila berjaya layak ke tiga perlawanan akhir dalam tiga kejohanan yang berbeza.

“Saya mempunyai ‘gentleman agreement’ dengan pengurusan kelab iaitu jika saya mendapat tawaran yang saya hendaki, mereka perlu lepaskan saya.

“Selepas Piala AFC, saya mempunyai tiga tawaran tetapi ianya tidak menepati apa yang saya mahu jadi buat apa perjudikan nasib jika anda tidak berpuas hati jadi saya putuskan untuk kekal di KL City.

“Saya bercakap dengan pemain pagi ini dan Presiden dan CEO telah tahu keputusan saya ini lebih lama dan semuanya sudah diketahui. Ini adalah masa yang sesuai selepas tiga final dalam tiga tahun.

“Saya rasa tidak ada siapa yang sangka kami mampu layak ke final Piala AFC. Kelab kecil seperti ini berjaya di peringkat antarabangsa dan akan jadi kenangan paling manis dan saya ucapkan selamat maju jaya kepada kelab ini,” katanya pada sidang media khas, Rabu.

Menjawab soalan FLASH SUKAN, Bojan turut menjelaskan mengapa dia memilih Nenad Bacina sebagai pengganti dan mahu jurulatih itu meneruskan legasi yang ditinggalkan dan dapat memastikan keharmonian dalam bilik persalinan.

“Kelab memilih Nenad kerana setelah nama saya disebut-sebut sebagai jurulatih kebangsaan tahun lalu, kelab sudah membuat persiapan awal sekiranya saya meninggalkan kelab ketika itu.

“Kami bercakap dengannya dan dia menerima tawaran ini. Saya dan Nenad mempunyai corak permainan yang sama jadi ianya tidak akan menjejaskan keharmonian dalam bilik persalinan,” jelasnya.

Sejak menyertai KL City pada 2021, Bojan berjaya membawa kelab warga kota itu menjuarai Piala Malaysia menewaskan Johor Darul Ta’zim selain bergelar juara Zon Asean seterusnya ke final Piala AFC 2022 sebelum sekali lagi melakukan kejutan layak ke final Piala FA 2023.