BERJAYA mencipta legasi baharu sebagai juara Piala Malaysia 2021 dan finalis Piala AFC 2022, Kuala Lumpur City FC sebenarnya masih tidak mempunyai tempat latihan yang sesuai untuk menepati kehendak bola sepak moden.
Sebelum ini mereka menggunakan padang di Pudu Ulu yang serba kekurangan tanpa bilik persalinan dan bilik perubatan sekaligus menyaksikan pemain kerap mengalami kecederaan akibat padang yang teruk dan tidak dapat melakukan sesi pemulihan dengan baik.
Isu ini pernah dibangkitkan oleh bekas ketua jurulatih, Bojan Hodak yang nyata kurang senang apabila sebagai finalis Piala AFC, mereka sepatutnya mempunyai pusat latihan yang sesuai dan bukannya dalam keadaan yang menyedihkan.
Namun ianya tetap tidak mematahkan semangat para pemain yang berjuang mati-matian sehingga berjaya mencipta sejarah demi sejarah sekaligus merekodkan pencapaian terbaik dalam tempoh 32 tahun.
Kemunculan Rinani Group sebagai pemegang saham terbesar kelab menyaksikan langkah pertama yang diambil adalah memastikan KL City mempunyai pusat latihan yang sesuai.
Akhirnya bermula Mei 2023, KL City mendapat pusat latihan yang lengkap tetapi ironinya ianya terletak di Selangor, lebih tepat lagi di Pusat Latihan PKNS, Kelana Jaya secara sewa.
Sebagai rekod, sejak tahun 70-an lagi pusat latihan ‘keramat’ ini merupakan markas Selangor, tiada musuh tradisi boleh bertapak di tempat ini.
Manakala antara nama-nama yang sinonim dengan tempat ini adalah Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Datuk K.Rajagopal, Datuk Zainal Abidin Hassan, serta pemain import Karel Stromsik, Robert Dunn, Zoran Nikolic.
Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard berkata dia gembira kerana akhirnya pasukannya mempunyai pusat latihan yang sesuai dan ini meningkatkan lagi semangat para pemain dan dibuktikan dengan melayakkan diri ke final Piala FA.
“Ini adalah satu lagi langkah kehadapan yang dibawa dalam kelab ini dan para pemain dilihat sangat gembira berlatih di sini kerana kemudahannya yang lengkap dan sesuai untuk pemain bola sepak,” katanya kepada FLASH SUKAN.
Bojan Hodak turut mengakui bahawa sejak ‘berpindah’ ke Selangor, pemainnya lebih bersemangat dan tidak lagi mengalami kecederaan ketika latihan kerana padang di situ dalam keadaan baik dan sesuai untuk kegunaan bola sepak.
Pemegang saham majoriti KL City, Noor Azri Datuk Seri Noor Azerai berkongsi kepada FLASH SUKAN bahawa banyak perjanjian komersil sedang dirancang untuk kestabilan kelab dan mereka juga sedang mempertimbangkan beberapa langkah bagi mengumpul dana untuk membina pusat latihan yang baharu.
“Lebih banyak perjanjian komersil sedang diatur untuk kelab menjadi lebih ‘sustainable’ dan kami sedang melihat kepada beberapa cara mengumpul dana untuk membina pusat latihan yang baharu.
“Kesemua rakan kongsi kami memahami satu tujuan yang sama iaitu untuk menjadikan kelab ini lebih berdaya saing dalam jangka masa panjang. Saya faham penyokong sudah tidak sabar tetapi apa yang pasti, perkara yang hebat memerlukan masa,” jelasnya.
Kehadiran Nenad Bacina sebagai ketua jurulatih baharu KL City pastinya menarik untuk disaksikan oleh penyokong kelab ini dan dengan adanya pusat latihan yang lengkap, KL City mampu untuk menjadi pencabar utama Liga Super dan sekali lagi mahu mengulangi pencapaian Piala Malaysia yang bermula bulan hadapan.