TERBURU-BURU kerana mahukan kemenangan memakan diri wakil tunggal negara di suku akhir Terbuka Jepun, Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila terpaksa akur dihantar pulang gandingan tuan rumah, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.
Beraksi di Gimnasium Nasional Yoyogi, Tokyo, Aaron mengakui bahawa set kedua menjadi pembunuh harapan mereka untuk melangkah ke separuh akhir.
“Perlawanan hari ini terutama di set kedua adalah sangat penting. Memang kita bermain dengan baik sebelum ‘interval’ namun selepas itu kami sedikit gopoh kerana terlalu hendak menang.
“Ketika itu juga kami terikut-ikut corak permainan mereka,” kata Aaron selepas tumpas 21-10, 15-21, 16-21.
Sementara itu, Wooi Yik berkata, kunci utama untuk mereka melangkah lebih jauh adalah mengekalkan prestasi dari awal.
“Sebab kita sudah bermula dengan baik, namun kita tidak dapat mengekalkan perkara itu, sehinga fokus semua hilang. Bagi kejohanan seterusnya kami harus memperbaiki lagi perkara ini,” kata pemain kelahiran Kuala Lumpur itu.
Kekalahan dalam aksi yang berlangsung lebih sejam itu, menyaksikan rekod Aaron-Wooi Yik ke atas pasangan nombor lima dunia itu terus merosot kepada 2-6.
Tahun lalu pasangan keempat dunia itu menarik diri daripada menyertai kejohanan berkenaan kerana Aaron mengalami kecederaan selepas muncul dunia.
Aaron-Wooi Yik selepas ini akan meneruskan aksi di Terbuka Australia yang berlangsung dari 1 hingga 6 Ogos depan.