PELUMBA Red Bull, Sergio Perez memenangi perlumbaan sulungnya musim ini apabila muncul juara Grand Prix Monaco yang berlangsung dalam keadaan cuaca yang tidak menentu hingga menyebabkan perlumbaan bermula lewat.
Tempat kedua menjadi milik Carlos Sainz manakala pendahulu keseluruhan, Max Verstappen ketiga dan Charles Leclerc keempat meskipun bermula dari petak hadapan.
Perez yang bermula dari petak ketiga memandu dengan cemerlang dibantu taktikal perlumbaan yang baik dari Red Bull untuk mengecewakan duo Ferrari yang dilihat mempunyai jentera yang lebih pantas namun sukar untuk memintas di Litar Monte Carlo ini.
Dengan Verstappen di tempat ketiga, dia berjaya menjarakkan lagi kedudukan pendahulu keseluruhan kepada sembilan mata selepas tamat tujuh perlumbaan musim ini.
Meskipun bermula baik dan mendahului sejak awal, perubahan cuaca memerangkap Leclerc yang terpaksa berhenti dua kali untuk menukar tayar dan akhirnya terpaksa berpuas hati di tangga keempat di laman sendiri.
Perlumbaan terpaksa dihentikan seketika pada pusingan ke-30 apabila Mick Schumacher mengalami kemalangan dan penghadang litar perlu diperbaiki sebelum perlumbaan dapat disambung semula.
Melengkapkan 10 tempat teratas adalah George Russell, Lando Norris, Fernando Alonso, Lewis Hamilton, Valtteri Bottas dan Sebastian Vettel yang mempamerkan aksi cemerlang sepanjang minggu ini.
“Ianya mimpi jadi kenyataan. Sebagai pelumba, saya sememangnya mengimpikan untuk menang di Monaco. Ianya adalah hari yang hebat buat diri dan juga negara saya,” ujar Perez selepas perlumbaan.
Perlumbaan seterusnya akan berlangsung di Grand Prix Azerbaijan dari 10 hingga 12 Jun dengan satu lagi perlumbaan yang dijangka menarik antara Red Bull dan Ferrari.
Keputusan Penuh Grand Prix Monaco:
1. Sergio Perez – Red Bull
2. Carlos Sainz – Ferrari
3. Max Verstappen – Red Bull
4. Charles Leclerc – Ferrari
5. George Russell – Mercedes
6. Lando Norris – McLaren
7. Fernando Alonso – Alpine
8. Lewis Hamilton – Mercedes
9. Valtteri Bottas – Alfa Romeo
10. Sebastian Vettel – Aston Martin
11. Pierre Gasly – Alpha Tauri
12. Esteban Ocon – Alpine
13. Daniel Riccardo – McLaren
14. Lance Stroll – Aston Martin
15. Nicolas Latifi – Williams
16. Guanyu Zhou – Alfa Romeo
17. Yuki Tsunoda – Alpha Tauri
18. Alexander Albon – Williams
19. Mick Schumacher – Haas
20. Kevin Magnussen – Haas
Kedudukan Pemandu Selepas Grand Prix Monaco (10 teratas)
1. Max Verstappen – 125 mata
2. Charles Leclerc – 116 mata
3. Sergio Perez – 110 mata
4. George Russell – 84 mata
5. Carlos Sainz – 83 mata
6. Lewis Hamilton – 50 mata
7. Lando Norris – 48 mata
8. Valtteri Bottas – 40 mata
9. Esteban Ocon – 30 mata
10. Kevin Magnussen – 15 mata
Kedudukan Pengeluar Selepas GP Monaco
1. Red Bull Racing – 235 mata
2. Ferrari – 199 mata
3. Mercedes – 134 mata
4. McLaren – 59 mata
5. Alfa Romeo – 41 mata
6. Alpine – 40 mata
7. Alpha Tauri – 17 mata
8. Haas – 15 mata
9. Aston Martin – 7 mata
10. Williams – 3 mata