JUVENTUS pastinya tidak akan bersaing dalam pertandingan Eropah musim ini selepas UEFA menghukum kelab itu daripada bersaing dalam Liga Conference Europa kerana melanggar peraturan Perbelanjaan Kewangan Adil (FFP).

Selain digantung daripada menyertai Liga Conference Europa, Juventus turut didenda 20 juta Euro.

“Juventus melanggar rangka kerja kawal selia UEFA dan melanggar perjanjian yang ditandatangani pada Ogos 2022, dan diputuskan untuk dikecualikan daripada pertandingan kelab lelaki UEFA pada musim 2023/24,” kata UEFA dalam satu kenyataan.

 

UEFA berkata separuh daripada denda, 10 juta euro ($10 juta), hanya akan dikenakan sekiranya Juventus gagal mematuhi peraturan FFP dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Mengenai kedudukan Juventus Liga Conference Europa musim ini, UEFA memilih Fiorentina sebagai pengganti. Musim lalu, Fiorentina menduduki tempat kelapan dalam Liga Itali.

Juventus bertindak balas terhadap hukuman UEFA dengan tidak membuat rayuan. Juventus menerima hukuman itu, tetapi masih percaya bahawa mereka tidak melakukan kesilapan seperti yang didakwa oleh UEFA.

Juventus juga dipercayai tidak akan membuat rayuan kerana Liga Conference Europa adalah saingan kelab Eropah yang paling rendah. Mereka mahu fokus kepada saingan domestik agar mampu bersaing dalam Liga Juara-Juara musim depan.

“Kami kesal dengan keputusan Badan Kawalan Kewangan Kelab UEFA. Kami tidak bersetuju dengan tafsiran yang telah diberikan mengenai pembelaan kami, dan kami tetap yakin dengan ketepatan tindakan kami dan kesahihan hujah kami. Bagaimanapun, kami telah memutuskan untuk tidak merayu keputusan ini,” kata Presiden Juventus Gianluca Ferrero.

Pada Mei lepas, Juventus bersetuju membayar denda lebih daripada 700 ribu Euro kerana mereka dituduh memanipulasi yuran perpindahan, gaji dan laporan kewangan yang berkaitan dengan keuntungan modal.

Di pentas Liga Itali, Juventus turut menerima sekatan potongan mata, sekali gus menduduki tempat ketujuh Liga Itali musim lalu.