BEKAS apit kanan bertaraf legenda, Rehan Mohd Din, meninggal dunia malam tadi dipercayai akibat serangan jantung di kediaman ibunya di Felda Ayer Tawar 3, Kota Tinggi, Johor.

Bersama Nordin Sabaruddin sebagai tekong dan Abdul Malik Shamsuddin selaku apit kiri, Allahyarham Rehan membentuk tiga serangkai emas yang mendominasi sepak takraw Asia pada 1989-1991.

Bermula dengan penampilan pertama di Piala Raja Thai pada 1987 dan seterusnya muncul juara kejohanan itu setahun selepas itu, ketangkasan Rehan melakukan rejaman selaku killer digeruni turut menghasilkan emas regu di Sukan SEA Kuala Lumpur 1989, emas regu dan berpasukan Sukan Asia Beijing 1990 serta emas regu dan berpasukan Sukan SEA Manila 1991.

Bekas kakitangan Petronas itu yang juga anak keempat daripada 10 beradik, juga bijak melakukan lompatan pada detik yang tepat untuk membuat hadangan selain menjadi pakar libas.

Rehan, yang dilahirkan pada 28 Julai 1967, menjalani pembedahan pintasan jantung pada April 2020 dan keadaan kesihatannya membuatkan Allahyarham berkerusi roda sehingga akhir hayatnya.

Kejayaan trio negara merangkul emas regu di Sukan SEA Kuala Lumpur pada 1989 adalah titik kebangkitan sepak takraw selepas kali pertama menewaskan trio Thailand sejak 1981.

Trio emas negara menumpaskan regu Thailand yang diketuai tekong bertubuh kurus tetapi tinggi, Pakdee Daengwattanapaibul.

Dalam acara berpasukan di Sukan Asia 1990, Rehan, Nordin dan Malek mengutip mata penting menewaskan Narong Chaikeawnoparat, Kriengkai Mutalai dan Khamnuan SonSonnanont, 9-15, 15-12, 15-7.

Seterusnya, Rehan dan rakan-rakan mengutip emas acara regu dengan menewaskan Pakdee, Kriengkai dan Chucheep Kongmeechon 15-10, 15-11 dalam masa 31 minit.

Tidak ramai sedar bahawa Rehan dan rakan-rakan menjalani latihan di kawasan jirat Cina pada tengah malam menjelang misi ke Beijing.

Skuad sepak takraw negara dikerah tidur di jirat Cina di Port Dickson sebagai usaha menguatkan mental dan semangat pemain.

Rehan meniti kemuncak pada era emas sepak takraw, sambil meneruskan tradisi killer hebat mengikut jejak Sahak Yassin dan Adnan Saidin.