THE City Boys mencatat kemenangan ketujuh saingan Liga Super 2023, selepas berjaya membelasah Kelantan FC 5-1, menyaksikan Romel Morales melakar hatrik dalam aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Begitupun, The Red Warrior menampilkan permainan berbeza di awal babak pertama.
Biarpun berada di kedudukan tercorot, Kelantan FC, kelihatan selesa berdepan finalis Piala FA itu.
Pelawat yang menurunkan sebahagian besar pemain bawah 23 tahun itu lebih bernafsu bertandang ke Cheras apabila menguasai bola dan pertama mengatur serangan.
Keyakinan pemain Alfredo Vera menyerlah apabila mereka dihadiahkan sepakan percuma di luar kotak penalti dan pemain import dari Argentina, Leonardo Rolon menerjah gawang The City Boys yang dikawal Kevin Mendoza, pada minit ketiga perlawanan.
Kelantan terus menguasai perlawananan sehinggalah pada minit ke-20, sepakan penjuru diambil ketua pasukan Zhafri Yahya singgah tepat ke kaki Matko Zirdum yang tidak sempat berbuat apa-apa namun bola sekadar melantun melewati palang pintu gol yang diJohan Shahzidane.
Tuan rumah bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-25.
Zhafri menggelecek bola dari tengah padang sebelum berjaya mengintai ruang dari luar kotak penalti Kelantan, sebelum melepaskan satu rembatan lencong menewaskah Johan Shahzidane, menjadikan kedudukan 1-1.
Pada minit ke-41, KL City berpeluang mendahului perlawanan, namun sayangnya Muhammad Haqmi Azim Rosli yang melonjak tinggi, melepaskan tandukan yang melepasi palang Kelantan.
Minit terakhir masa tambahan babak pertama, The City Boys seharusnya selesa ke bilik persalinan namun dua percubaan Romel Morales lemah, satu tersasar manakala satu lagi tepat ke dakapan Johan Shahzidane.
Bersambung babak kedua, KL City terus melancar serangan ke kubu TRW.
Serangan pertama sebaik perlawanan bersambung itu, segera membuahkan hasil.
Bermula dari hantaran Sebastian Avanzini yang menemui Morales, dan penyerang Columbia itu melepaskan rembatan deras menewaskan Johan Shazidane kali kedua pada minit ke-47.
Jaringan itu turut menyaksikan Johan terpaksa dikeluarkan kerana masalah kecederaan.
Kedudukan bertukar kepada 3-1 apabila Morales menambah jaringan pada minit ke-64, meletakkan The City Boys selesa memimpin perlawanan.
J.Partiban mengubah kedudukan 4-1 apabila meledak jaringan pada minit ke-84, sebelum morales melengkapkan hatrik pada masa kecederaan mereka berpesta jaringan.
Pada pertemuan pertama 17 Mac lalu, kedua-dua pasukan terikat 2-2 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, di Kota Bharu.