JOHOR Darul Ta’zim  (JDT) sekali lagi membuktikan mereka tahu bagaimana untuk memenangi perlawanan meskipun ditekan hebat Selangor FC apabila berjaya mencatatkan kemenangan 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Jaringan debut Heberty Fernandez pada minit ke-78 dan penalti Bergson Da Silva pada minit terakhir perlawanan sudah cukup untuk memberikan tiga mata buat Harimau Selatan dan kemenangan ke-18 berturut-turut dalam liga dan kemenangan ketiga keatas Selangor musim ini.

JDT turun tanpa dua tonggak tengah Fernando Forestieri yang mengalami kecederaan dan Afiq Fazail yang direhatkan dan memberi peluang kepada Akhyar Rashid dan Juan Muniz untuk menjana serangan.

Sedikit malang buat Selangor FC apabila hasrat Richmond Boakye untuk menjaringkan gol ketika bertemu JDT hanya bertahan 18 minit sahaja apabila dia terpaksa dikeluarkan selepas mengalami pelanggaran dengan Sam Somerville.

JDT lebih banyak menyerang dengan mengasak kubu Gergasi Merah bertubi-tubi namun tidak dapat menembusi benteng Selangor yang diketuai Yazan Al-Arab dan Safuwan Baharudin.

Selangor FC tidak banyak melakukan serangan dan mengharapkan serangan balas dan situasi bola mati untuk mengancam gawang yang dikawal Syihan Hazmi untuk kedudukan 0-0 kekal hingga tamat babak pertama.

Pengendali JDT, Esteban Solari melakukan pertukaran pada babak kedua dengan memasukkan Afiq Fazail dan pemain yang baru ditandatangani, Heberty Fernandez untuk menajamkan lagi serangan.

Seramai 22,526 penyokong yang membanjiri stadium akhirnya bersorak gembira apabila Heberty Fernandez menjaringkan gol pada debutnya di minit ke-78 selepas menerima hantaran lintang dari Oscar Arribas yang membias ke kakinya dan menerjah jaring.

Ketika perlawanan hampir ditamatkan, JDT dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Bergson untuk memberikan kemenangan 2-0 dan tiga mata penuh buat Harimau Selatan.

Kemenangan ini semakin menghampirkan JDT dengan gelaran Liga Super ke-10 apabila kini mendahului Selangor yang berada di tangga kedua dengan 14 mata berbaki lapan perlawanan.