PENYERANG baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Heberty Fernandez gembira apabila jaringan sulungnya pada debut berjaya membantu pasukan meraih kemenangan ke atas Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu.
Heberty yang masuk menggantikan Akhyar Rashid pada babak kedua berjaya menjaringkan gol pertamanya bersama JDT pada minit ke-78 untuk memastikan kemenangan 2-0 sekaligus kemenangan ke-18 berturut-turut dalam Liga Super.
Namanya turut menjadi ‘instant hit‘ kepada para penyokong yang hadir ke stadium dengan setiap kali dia memegang bola, sorakan padu penyokong menambah semangat buat pemain yang pernah beraksi di Liga Thailand itu.
“Saya sangat gembira kerana dapat membantu pasukan dan menjaringkan gol. Ianya satu perasaan yang hebat dan sukar untuk digambarkan dengan kata-kata dan saya sememangnya gembira dengan permulaan yang baik ini,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN selepas perlawanan.
Namun begitu, dia sedar dia masih memerlukan waktu untuk menambah kecergasan dan menyesuaikan diri dengan kehendak latihan yang diinginkan Ketua Jurulatih, Esteban Solari
“Saya rasa masih banyak yang perlu diperbaiki kerana saya sudah lama tidak bermain kerana Liga Thailand sudah dua bulan berakhir. Saya perlukan sedikit masa untuk lebih bersedia dan lebih cergas,” jelasnya.
Dalam pada itu, Heberty juga gembira dengan persembahan rakan-rakan sepasukannya dan dia menyatakan bahawa Liga Malaysia dan Liga Thailand mempunyai tahap kompetitif yang baik.
Liga Malaysia dan Liga Thailand ianya adalah dua liga yang baik. Pemerhatian saya dari perlawanan sebelum ini ketika menentang KL City, pasukan beraksi sangat baik dan perlawanan hari ini juga sangat sukar dan saya sangat gembira berada di sini,” tambahnya.
Heberty yang ditandatangani dari Bangkok United dilihat sebagai pengganti yang tepat untuk Diogo yang masih dalam proses pemulihan dan gol sulungnya ini sudah pasti akan membakar semangatnya untuk mencipta nama di Liga Malaysia.