PENGENDALI Selangor FC, Tan Cheng Hoe sedikit kecewa setelah perancangan untuk mencuri sekurang-kurangnya satu mata di Stadium Sultan Ibrahim tidak kesampaian apabila tewas 0-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super pada Sabtu.

Cheng Hoe turut mengakui barisan pemainnya telah melaksanakan tugas yang baik sebaik minit pertama perlawanan namun ketika permainan hampir memasuki 10 minit terakhir, faktor hilang konsentrasi menyebabkan mereka dibolosi hasil jaringan debut dari Heberty Fernandes.

“Memang perancangan kita adalah untuk mencuri mata di SSI namun tidak berhasil. Secara keseluruhan, saya lihat dari babak pertama kita sudah menunjukkan disiplin yang tinggi namun kelekaan ketika perlawanan menuju 80 minit menyebabkan kita telah dibolosi.

“Kita tahu rangkaian serangan JDT cukup kuat dan banyak gol dijaringkan mereka di sini, oleh itu kita cuba bermain lebih defensif tapi kita gagal mengatasi situasi tersebut. Untuk berdepan lawan sehebat JDT, kita tidak boleh hilang fokus.

“Saya rasa banyak pasukan yang berdepan dengan mereka menggunakan pelbagai cara dan taktikal namun masih gagal sekat JDT dan jaringan gol yang dihasilkan itu membuktikan mereka ini berada di tahap yang berbeza,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Bekas jurulatih skuad kebangsaan itu turut berkata kecederaan yang dialami Richmond Boakye pada awal permainan sedikit sebanyak mengganggu percaturannya dan menjejaskan jentera serangan sehingga memaksanya mengubah perancangan dengan bermain bertahan.

Bagaimanapun, Cheng Hoe tidak mahu kekalahan merentap semangat juang anak buahnya yang akan bangkit dan berusaha lebih keras mengharungi baki tujuh perlawanan dalam misi menamatkan saingan Liga Super di tempat kedua sekali gus merebut slot automatik ke kejuaraan Piala AFC pada musim depan.

“Sebagai jurulatih, saya tak rasa terlalu panik dengan keputusan itu, yang penting adalah persiapan pasukan bagi baki perlawanan yang akan datang. Fokus utama kami ialah peningkatan untuk setiap individu dan pasukan bagi capai misi kekal di tempat kedua dalam liga.

“Kehilangan Faisal Halim sedikit sebanyak menjejaskan corak permainan pasukan tetapi ianya biasa dalam bola sepak apabila pasukan kehilangan pemain dalam tempoh panjang akibat kecederaan dan sebagainya.

“Kita kena bijak cari alternatif lain untuk perkara ini dan kita lihat Mukhairi Ajmal bermain dengan baik pada perlawanan ini dan mampu bermain di posisi yang ditinggalkan Faisal walaupun pertama kali melakukannya ,” jelasnya.

Keputusan perlawanan itu menyaksikan Selangor kini ketinggalan 14 mata dari JDT selepas 19 perlawanan dan semakin sukar menghalang JDT untuk mencapai gelaran Liga Super ke-10 mereka.