SKUAD futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi bangkit dari ketinggalan pada babak pertama untuk menang 8-3 ke atas Selangor TOT United sekaligus menempah tiket ke final Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) 2023 pada penampilan pertama dalam pertandingan ini.

Meskipun ketinggalan 1-3 pada babak pertama, pasukan kendalian Juan Antonio Miguel Garcia mempamerkan aksi mantap pada babak kedua untuk menjaringkan tujuh gol sekaligus memenangi aksi separuh masa kedua dengan aggregat 15-8.

Barisan Selangor TOT United kendalian Patt Sriwijit memulakan aksi dengan baik apabila mendahului seawal minit pertama dan dua lagi gol pada babak pertama sekaligus merapatkan kedudukan aggregat kepada 8-8.

Namun JDT yang didukung ribuan penyokong sendiri bangkit bergaya dengan memanfaatkan kesilapan taktikal power play yang digunakan lawan untuk memadam kelebihan awal Selangor TOT dan meraih kemenangan.

Ketua Jurulatih JDT, Juan Antonio berkata dia bangga dengan kesungguhan para pemainnya dan gembira kerana berjaya layak ke final pada penampilan pertamanya dalam senario futsal di Malaysia.

“Satu perlawanan yang cukup sukar tetapi kami bersedia dengan baik dan para pemain menunjukkan persembahan yang baik dan kami berjaya mengambil kesempatan kesilapan taktikal power play pasukan lawan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

 

Sementara itu pengendali Selangor TOT United, Patt Sriwijit memuji kehebatan pasukan JDT yang mempunyai lebih kualiti meskipun pasukannya sudah cuba untuk melakukan kejutan.

“JDT adalah pasukan yang sangat baik dan kami ucapkan tahniah kepada mereka serta berharap mereka mampu untuk menang di perlawanan akhir. Kami menggunakan taktikal ‘power play’ kerana mahu mendapatkan jaringan dan menghiburkan penyokong yang hadir ke stadium,” jelasnya.

JDT kini bakal berhadapan Pahang Rangers FC di final yang menggunakan format ‘home and away’ dan MPFL akan menyaksikan juara baharu ditabalkan pada 12 Ogos 2023.