PENYERANG import Selangor FC, Herlison Caion tekad ingin bekerja lebih keras untuk meneruskan momentum selepas berjaya menghasilkan lima gol dalam tiga perlawanan Liga Super setakat ini.
Dalam dua perlawanan terdahulu, tiga jaringan yang dilakukan penyerang dari Brazil ini adalah menerusi sepakan penalti, jadi dua gol daripada permainan terbuka pada Ahad lalu menentang Kedah Darul Aman FC pastinya memberi makna kepada Caion untuk membantu pasukan meraih kemenangan pertama.
Namun, dia menganggap ini baru sahaja permulaan dan masih banyak yang perlu dilakukan sekiranya mahu menghasilkan jaringan selepas ini.
“Saya gembira dan mahu mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan kerana membantu saya setiap masa dan saya bekerja keras setiap masa untuk pasukan.
“Saya hanya nak cakap saya gembira sebab rakan sepasukan sentiasa membantu tetapi saya perlu bekerja lebih keras untuk menjaringkan gol.
“Jika saya tidak berusaha, gol tidak akan datang. Tetapi paling utama adalah saya nak berusaha keras untuk pasukan, siapa yang menjaringkan gol tidak penting”, jelasnya.