PEMAIN tengah Harini Selangor FT, Zulkiflli Zakaria yang dikejarkan ke hospital ketika menentang Melaka FC di Stadium Hang Jebat, Melaka pada Ahad dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Menerusi status terkini kelab di Facebook, pemain berusia 26 tahun itu yang dikenali sebagai ‘Pele’ telah dipindahkan ke wad biasa dan masih dibawah pantauan Hospital Besar Melaka.
“Zulkiflli dikejarkan ke Hospital Besar Melaka (zon kuning kecemasan) pada malam tadi, disebabkan perlanggaran di bahagian belakang. Alhamdullilah keadaan beliau semakin baik.
“Kami di Harini FT Family sentiasa berada bersama anda. Semoga urusan Zulkiflli dipermudahkan. Comeback stronger bois! ,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, rata-rata peminat mendoakan Zulkiflli cepat sembuh dan boleh bermain seperti biasa selepas ini.
“Semoga cepat sembuh. Pemain yang hebat,” tulis netizen dalam hantaran di Facebook.
Pada perlawanan Liga MBSB Bank Championship 2023 itu, Harini FT menang 3-1 mengatasi Melaka FC dan berada di kedudukan kedua dengan kutipan 33 mata selepas beraksi 14 perlawanan.
Manakala tanggal 4 Ogos ini, The Eagle akan terlibat kempen pusingan 16 Piala Malaysia berdepan Sri Pahang FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.