FOTO KREDIT : IG Hans Isaac
PROSES penanaman rumput padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) telah bermula sejak Rabu.
Menurut perkongsian Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac, beliau sendiri ‘turun padang’ meninjau keadaan dan proses yang sedang dijalankan pihak kontraktor.
“Tinjauan ke Stadium Nasional (Bukit Jalil) hari ini bersama-sama Datuk Seri Windsor Paul John wakil dari Asian Football Club (AFC) dan Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Faidz Sanusi bagi melihat sendiri proses penanaman rumput dan baik pulih prasarana di kawasan sekitar stadium.
“Beberapa penambaikan dilakukan bagi memastikan penggunaan Stadium Nasional Bukit Jalil akan datang berada di tahap terbaik sekali gus keselamatan serta keselesaan semua menjadi keutamaan,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN : Rumput SNBJ mula pasang 1 Ogos selepas konsert Muse
Berdasarkan rekod, penanaman rumput Zeon Zoysia bermula April lalu di nurseri yang terletak bersebelahan Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, bagi menggantikan Cow Grass sedia ada.
SNBJ pernah menggunakan rumput jenis Bermuda Greenless Park pada 1998-2005, Marimo Seashore Paspalum bersama Zoysia Material (2005-2-13) dan Bermuda Mountain Green bersama Princess (2013-2015).
Rata-rata pemerhati mahukan stadium kebanggaan negara itu dapat disiapkan dalam masa ditetapkan dan sempat digunakan bagi penganjuran Pestabola Merdeka, Oktober depan.
Pestabola Merdeka kembali dianjurkan selepas 10 tahun menyepi dan saingan kali ini membabitkan pasukan Palestin, India, Lubnan dan Hariamau Malaya.