ADEGAN panas di antara seorang penolong jurulatih dan salah seorang kakitangan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) di terowong pemain sebelum aksi separuh akhir Piala FA adalah berpunca daripada kata-kata rasis.

Sebelum ini, laporan media mengatakan seorang penolong jurulatih itu dibelasah oleh staf tuan rumah namun sebenarnya hanya berlaku pergaduhan yang bermula dari pertikaian mulut dan adegan tolak menolak.

Menurut sumber, ketika kejadian, beberapa staf lain yang berada di situ mula menyoal tindakan penolong jurulatih itu kerana inginkan jawapan mengapa dia berkata demikian yang sangat bersikap perkauman terhadap staf berbangsa Afrika.

Pun begitu, menurut sumber yang menghubungi FLASH SUKAN berkata, pihaknya berasa pelik kerana isu ini baharu menjadi bualan memandangkan insiden tersebut berlaku pada 26 Jun 2023, lebih sebulan dari tempoh laporan dibuat.

Tambah mengelirukan, mengapa penolong jurulatih itu membuat laporan kepada Fifa sedangkan tidak ada laporan dibuat kepada Koordinator Perlawanan mahupun kepada pihak polis atas insiden yang berlaku pada malam itu.

Ironinya, hari ini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi Setiausaha Agungnya, Noor Azman Rahman mengesahkan ada menerima laporan bahawa penolong jurulatih Selangor FC, Ramon Marcote telah dibelasah pada 25 Julai lalu.

Perkara ini menjadi tanda tanya adakah Marcote telah mengeluarkan kata-kata rasis?