TUNKU Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sentiasa menitikberatkan isu padang yang berkualiti bagi menjamin permainan bola sepak yang menarik dan dapat mengelak kecederaan kepada semua pemain.

Hasilnya, kesemua fasiliti milik Johor Darul Ta’zim (JDT) sama ada pusat latihan, stadium mini hingga ke Stadium Sultan Ibrahim yang ikonik turut dilengkapi dengan padang yang cantik dan berkualiti seperti rumput dari jenis Zeon Zoysia.

Sejak dibuka pada tahun 2020, tidak dinafikan padang Zeon Zoysia di Stadium Sultan Ibrahim adalah padang terbaik di Malaysia sehingga Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memilih gelanggang itu sebagai tuan rumah untuk perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC pada 2022.

Namun begitu, TMJ dilihat masih tidak berpuas hati dengan keadaan padang sedia ada dan kini melakukan eksperimen dengan memasang padang jenis hybrid di satu lagi stadium milik JDT, Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos di Larkin.

Menerusi hantaran yang dimuat naik laman sosial rasmi kelab, pemasangan rumput jenis hybrid itu sudah dimulakan dan selepas siap ianya akan diuji untuk memastikan ianya menepati standard yang dimahukan dan akan dipasang di semua fasiliti JDT yang lain termasuk di Stadium Sultan Ibrahim.

“Padang jenis hybrid yang baharu sedang dipasang di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos milik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim di Larkin.

“Padang hybrid ini akan menjadi satu-satu yang seumpamanya dalam bola sepak Malaysia.

“Selepas menganalisa hasilnya, rumput tersebut akan dipasang di kesemua kemudahan fasiliti kami yang lain, termasuk Stadium Sultan Ibrahim,” tulis kenyataan itu.

Apa yang lebih menarik adalah komen balas dari TMJ sendiri yang bertulis “Entah sapalah punya idea ni semua”, yang berjaya menarik banyak balasan dari netizen di ruangan komen itu kerana sememangnya semua tahu TMJ adalah ‘pioneer’ dalam bola sepak moden di Malaysia.

Rumput hybrid atau rumput semulajadi diperkuat adalah satu produk yang dicipta dengan menggabungkan rumput semulajadi dengan serat sintetik diperkuat. Ianya digunakan di stadium bola sepak, ragbi dan kriket serta lapangan golf.

Rumput jenis ini juga sesuai untuk diadakan acara dan konsert kerana serat sintetik itu berkembang bersama akar menjadikan padang itu lebih kuat dan sukar untuk mengalami kerosakan.