JUARA Piala Malaysia 33 kali, Selangor FC bangkit dari ketinggalan pada babak pertama untuk mencatatkan kemenangan 4-1 keatas PDRM FC dalam perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.
Dua jaringan dari penjaring terbanyak kelab, Ayron Del Valle dan satu dari pemain muda, Harith Haiqal dan Yohandry Orozco semuanya pada babak kedua cukup untuk memberikan Gergasi Merah bekalan selesa menjelang aksi perlawanan kedua.
Selangor juga melakukan kejutan apabila menurunkan Richmond Boakye yang sebelum ini mengalami kecederaan ‘cerebral concussion’ dan dia berjaya bermain sepanjang 90 minit perlawanan
PIALA MALAYSIA 2023
FT: PDRM FC 1-4 Selangor FC
⚽ Hadi Fayyadh 25'
⚽ Ayron Del Valle 57', 64', Harith Haiqal 74', Yohandry Orozco 90'+1More pictures at: https://t.co/50C7Ab3fAB#PialaMalaysia2023#SangSakaBiru#MKLK pic.twitter.com/NoY8Ng0mw4
— Flash Sukan (@FlashSukan) August 3, 2023
PDRM yang pernah mengejutkan Selangor pada aksi Liga Super sebelum ini sekali lagi mencipta kejutan apabila penyerang yang baru dibawa masuk, Hadi Fayyadh berjaya menjaringkan gol pertama selepas percubaan Bruno Suzuki sekadar singgah di tiang gol pada minit ke-25.
Tersentak dengan jaringan itu, Selangor memperkemaskan lagi pasukan dengan membawa masuk Yohandry Orozco dan Aliff Izwan menggantikan Yazan Al-Arab dan Mukhairi Ajmal untuk menambah sengat di bahagian tengah pada separuh masa kedua.
Pertukaran taktikal ini nyata menjadi buat Tan Cheng Hoe apabila dua gol berjaya dijaringkan dalam tempoh 20 minit pertama babak kedua menerusi Ayron yang mengambil kesempatan kesilapan penjaga gol PDRM untuk gol pertama dan jaringan akrobatik yang menarik untuk gol kedua.
Harith Haiqal pula menambah keceriaan lebih 2,000 penyokong yang hadir dengan gol ketiga ketika perlawanan berbaki 16 minit yang dilihat sudah cukup untuk dijadikan bekalan selesa buat Selangor di perlawanan kedua nanti.
Namun Selangor tidak berpuas hati dengan tiga jaringan dan Yohandry Orozco menambah gol keempat pada masa kecederaan untuk memberikan kemenangan 4-1 dan berjaya memulakan kempen Piala Malaysia dengan langkah kanan.