GABUNGAN Persatuan Penyokong Bolasepak Perak (TBG Mobs Perak Fans Club) menyambut baik desas-desus kemungkinan Tan Cheng Hoe akan menerajui ketua jurulatih baharu Perak FC musim ini.

Laporan media mendakwa bekas pengendali Kedah dan pasukan kebangsaan itu dilihat muncul di majlis sambutan rumah terbuka Hari Raya XOX Berhad, di Kuala Lumpur petang Ahad.

Tersebar sekeping foto di laman media sosial dia hadir bergambar bersama Pengerusi XOX, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.

Ia sekaligus menimbulkan bahan bualan penyokong Kejor Yop Skor di seluruh negara.

Flash Sukan berjaya menghubungi Cheng Hoe bagi mendapatkan kepastian dan ini jawapan ringkasnya.

“Tiada apa-apa. Saya pun datang atas undangan. Tiada sebarang perbincangan tawaran untuk membimbing Perak FC.

“Saya pun sekarang ini ada di Pulau Pinang untuk urusan lain. Apapun, spekulasi yang ditimbulkan ini adalah tidak benar,” katanya.

Diminta mengulas ada menerima tawaran kelab lain dalam masa terdekat sejak tidak lagi bersama pasukan Harimau Malaya, Cheng Hoe sebaliknya meminta semua pihak bertenang.

“Tunggu dan lihat. Saya belum nak bagi komen lagi perkembangan ini (tawaran baru),” ujarnya lagi.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Gabungan Persatuan Penyokong Bolasepak Perak (TBG Mobs Perak Fans Club), Hakimi Halim memberitahu, jika benar Cheng Hoe berminat melatih Perak FC, pihaknya mengalu-alukan kehadiran jurulatih itu.

“Sudah tentu kami menyambut baik kedatangan jurulatih bersama pasukan. Kehadiran Cheng Hoe pasti mengubah struktur Perak FC dan mungkin dia akan membawa masuk pemain baharu.

“Tidak mustahil pasukan akan jadi lebih berdaya saing dan dapat keluar dari zon penyingkiran yang ketika ini amat meresahkan penyokong The Bos Gaurus,” katanya.