SKUAD hoki lelaki kebangsaan menepati ramalan mencapai kemenangan kedua, apabila mengatasi china 5-1, pada perlawanan kedua Trofi Juara-Juara Asia (ACT) yang berlangsung di Chennai, India.

Malah penyerang senior, Muhammad Firhan Ashari terus cemerlang meledak dua gol pada perlawanan kedua berturut-turut sekali gus memimpin carta penjaring terbanyak setakat ini.

Firhan Ashari semakin berbisa, meledak dua gol pada dua perlawanan berturut-turut. -Pix AHF/Hockey India

Begitupun, Speedy Tigers dikejutkan dengan gol awal China menerusi Chen Chongcong seawal minit keempat sebelum bangkit mengikat kedudukan 1-1 berselang tujuh minit kemudian.

Gol penyamaan itu hadir menerusi pukulan sudut penalti Faizal Saari pada minit ke-11, menyemarakkan semangat barisan pemain bimbinga A.Arulselvaraj untuk meledak jaringan kedua melalui Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-15.

Azrai Aizad dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan dalam kemenangan 5-1 ke atas China.-Pix AHF/Hockey India

Firhan memastikan kedudukan selesa 4-1 buat skuad negara yang berada di ranking ke-10 dunia dengan tambahan dua lagi gol pada minit ke-45 dan 49.

Pakar flik, Muhammad Najmi Farizal Jazlan melengkapkan kemenangan selesa 5-1 ke atas China, dengan gol daripada pukulan sudut penalti pada minit ke-57.

Berbekalkan rekod 100 peratus kemenangan daripada dua perlawanan awal pasti memberikan keyakinan buat Speedy Tigers sebelum bertemu tuan rumah yang juga seteru tradisi, India dalam aksi ketiga pada Ahad.